GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


PENGGUNAAN platform jualan dalam talian semakin popular dalam kalangan pengguna bagi membeli barangan keperluan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho berkata, pihaknya mendapati lebih ramai pengguna platform berkenaan untuk membeli-belah barang keperluan harian seperti lampin, tisu tandas, bijirin dan beras secara dalam talian.

“Kami mendapati aktiviti membeli semakin rancak sejak permulaan PKP, minggu lalu. Bagaimanapun, pengguna perlu faham bahawa terdapat kemungkinan berlaku kelewatan dalam penghantaran sepanjang tempoh berkenaan.

“Namun, seluruh sektor logistik akan tetap sedaya upaya memenuhi pesanan pengguna. Sebagai tambahan kepada Shopee Express, kebanyakan penyedia logistik pihak ketiga sudah melaksanakan proses penghantaran lebih selamat dan mudah bagi menghalang perhubungan yang lama antara pembeli dan kakitangan penghantaran.

“Langkah berjaga-jaga juga diambil seperti pembasmian kuman untuk gudang dan kenderaan, selain pemeriksaan suhu dilakukan untuk pekerja, pemandu, serta penunggang demi kepentingan keselamatan,” katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, jurucakap sebuah lagi platform jualan dalam talian, Lazada Malaysia berkata, pihaknya juga mengalami peningkatan tempahan sepanjang minggu ini susulan pelaksanaan PKP.

“Berdasarkan jumlah pesanan diterima, kami mendapati kebanyakan barang yang dibeli merangkumi makanan, barangan penjagaan diri dan produk keperluan rumah.

“Selain itu, terdapat permintaan tinggi bagi peralatan teknologi termasuk aksesori komputer sepanjang tempoh berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurucakap Pasar Raya Tesco dalam kenyataan berkata, pihaknya mencatatkan peningkatan pesanan di seluruh negara dalam tempoh dua minggu lalu.

“Tesco melalui Tesco Online sedang beroperasi pada kapasiti penuh untuk setiap kawasan yang ditawarkan perkhidmatan penghantaran dalam talian ini.

“Antara lokasi yang ditawarkan perkhidmatan berkenaan termasuk Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak (Ipoh sahaja),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan

    pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    h

  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 4:24 PM