DATUK Hasni Muhammad. FOTO NSTP
DATUK Hasni Muhammad. FOTO NSTP
Mohamed Farid Noh


KERAJAAN Johor memperuntukkan RM1.2 juta bagi memperluaskan pelaksanaan program Bank Makanan di seluruh negeri.

Menteri Besar Datuk Hasni Muhammad berkata, ia bertujuan untuk membekalkan makanan keperluan harian kepada golongan B40 yang terjejas akibat Covid-19.

“Kerajaan Johor akan menggandakan peruntukan RM600,000 kepada RM1.2 juta bagi memperluaskan program Bank Makanan di negeri ini susulan penularan Covid-19.

“Ia bagi membantu golongan B40 yang menghadapi kesukaran memperoleh bekalan makanan sepanjang wabak ini khususnya dalam kalangan penerima bantuan e-kasih, asnaf zakat dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara dalam talian selepas Mesyuarat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), hari ini.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut berkata, bagi menghargai segala usaha gigih dan pengorbanan petugas di sektor kesihatan, kerajaan Johor bersetuju menyumbang peruntukan khas berjumlah RM500,000 bagi pembelian peralatan tambahan dan keperluan utama lain yang akan diselaraskan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

“Kerajaan negeri juga bersetuju menyediakan keperluan makanan untuk pasukan polis dan tentera yang bertugas di barisan hadapan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bantuan itu akan diselaraskan menerusi Pejabat Daerah dan menggunakan peruntukan Tabung Bencana Negeri Johor membabitkan kos sebanyak RM200,000,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hasni berkata, kerajaan Johor juga akan menangguhkan bayaran balik pinjaman pelajaran institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negeri yang mendapat kemudahan pinjaman Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).

Katanya, ia membabitkan seramai 2,000 pelajar dengan anggaran bayaran penangguhan berjumlah RM2.4 juta mulai April hingga Jun depan.

“Bantuan juga akan diberikan kepada pelajar yang tinggal di asrama Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Johor sepanjang tempoh PKP.

“Jumlah peruntukan yang akan diberikan adalah antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap IPTA di negeri Johor secara ‘one off’ membabitkan anggaran kos sebanyak RM370,000.

“Selain itu, bantuan ini juga akan diberikan kepada Persatuan Pelajar Negeri Johor di IPTA seluruh Malaysia membabitkan peruntukan antara RM5,000 hingga RM10,000 dengan anggaran kos sebanyak RM300,000, juga dibuat secara ‘one off’ menerusi “Outright Grant,” katanya.

Hasni berkata, kerajaan negeri juga bersetuju menangguhkan bayaran pinjaman pelajaran kepada pelajar yang mendapat kemudahan pinjaman pelajaran di Mesir dan Jordan melalui Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) mulai April sehingga Jun depan.

Katanya, bantuan makanan akan turut diberikan sebanyak RM200 seorang secara ‘one-off’ kepada pelajar negeri Johor yang sedang melanjutkan pelajaran di Mesir dan Jordan yang terkesan dengan PKP, masing-masing membabitkan 800 pelajar di Mesir dan 200 pelajar di Jordan membabitkan kos sebanyak RM200,000 melalui peruntukan oleh MAIJ.

“MAIJ juga akan memberikan bantuan kepada pelajar yang tinggal di asrama madrasah yang berdaftar dengan pihaknya membabitkan peruntukan antara RM5,000 hingga RM10,000 dengan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM300,000,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri bersetuju untuk mewujudkan sebuah Pasukan Bertindak Ekonomi Negeri Johor atau “Johor Economic Taskforce“ (JET) bagi menyelaras segala bentuk integrasi maklumat dan pelan tindakan dalam menangani kesan ketidaktentuan ekonomi global dan Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 4:45 PM
    Digital NSTP Subscribe