AMINAH Harun bersama tiga cucunya. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
AMINAH Harun bersama tiga cucunya. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


“SAYA terpaksa berpesan kepada tiga cucu yang masih kecil supaya makan berpada-pada kerana kita tidak boleh keluar membeli makanan dan duit pun tiada..Alhamdulillah mereka faham,” kata Aminah Harun, 55, dari Kampung Paloh Chicha, Tumpat.

Aminah berkata hatinya cukup pilu setiap kali tiga cucunya yang berusia tujuh tahun (dua orang) dan lapan tahun mengadu lapar kerana mereka hanya makan nasi sekali sehari sahaja terutama dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mencatu bekalan makanan di rumah.

“Kami tiada sumber pendapatan tetap dan hanya mengharapkan seorang anak yang mengalami masalah lembam keluar mencari besi buruk tapi sekarang sudah tidak boleh keluar.

“Ada ketikanya jiran memberi sedekah dan duit itu dibuat membeli ikan selayang dua kilogram dan tahan untuk dua hari,” katanya yang turut menghidap penyakit tiroid sejak dua tahun lalu.

Aminah berkata suaminya, [email protected] Zain Idris, 70, ada kemahiran menggubah pokok bonsai dan di halaman rumahnya terdapat deretan tumbuhan itu namun tidak sentiasa ada pembeli.

“Lebih-lebih lagi semua orang tidak boleh keluar sekarang, lagi lah tiada pembeli dan anak yang mencari besi buruk adakalanya terpaksa keluar secara curi-curi untuk bekerja kerana kami langsung tiada wang,” katanya yang turut menjaga dua anak yang mengalami masalah lembam dan dua anak tiri yang mempunyai masalah mental.

Seorang lagi warga emas yang sangat terkesan dengan PKP adalah Mek Nab Daud, 73, dari Kampung Kutan Hilir, yang tidak keluar menjaja ubat akar kayu sejak perintah itu dikeluarkan sekaligus menjadikan mereka lima beranak terputus mata pencarian.

Ketika ditemui di rumahnya, Mek Nab yang berkerusi roda kerana lemah untuk bergerak, berkata mereka tidak mempunyai simpanan kerana hasil yang diperoleh setiap hari ketika menjual ubat hanyalah sekitar RM10 hingga RM20 sehari dan hanya cukup menampung keperluan mereka berlima.

“Sejak tidak boleh keluar menjaja ubat, kami langsung tiada duit dan jika ada yang orang ramai (jiran) sedekah, kami akan terus beli lauk.

“Biasanya kami beli telur RM4, dapat 10 biji dan tahan untuk dua hingga tiga hari. Tiada menu lain, hanyalah telur rebus berkuahkan kicap atau budu, itu sudah memadai,” katanya.

Mek Nab berkata seorang anak dan cucunya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan dan adakalanya terpaksa ‘mencuri’ elaun itu untuk membayar sewa rumah sebanyak RM300 sebulan.

“Andainya PKP ini berlanjutan, kami tak boleh bayangkan betapa peritnya lagi keadaan selepas ini. Saya berharap wabak penyakit Covid-19 akan dapat dikawal dengan segera,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 5:03 PM