Hafidzul Hilmi Mohd Noor


MASYARAKAT diminta tidak melabel, menghina dan mencaci jemaah tabligh hingga mengakibatkan mereka bimbang melakukan saringan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, jemaah tabligh juga diminta tidak takut ke hadapan dan menjalani saringan.

“Masyarakat diingatkan supaya tidak mengambil pendekatan menghina, mencaci dan melabel jemaah tabligh hingga menyebabkan mereka takut.

“Waktu begini bukan untuk mencari salah siapa sebaliknya waktu sekarang penting untuk masyarakat memainkan peranan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Kesihatan Tang Lin, di Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Hamid meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk melihat sendiri proses saringan pandu lalu kepada individu dan kumpulan yang sebelum ini menyertai Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, di sini, pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Khidmat pandu lalu itu disediakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di seluruh Kuala Lumpur.

ANGGOTA PDRM memantau proses operasi yang membabitkan individu dan kumpulan tabligh yang hadir membuat saringan secara ‘drive through’ di Klinik Kesihatan Tang Lin. Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador turut meluangkan masa melawat sesi saringan tersebut. FOTO Safeek Affendy Razali
ANGGOTA PDRM memantau proses operasi yang membabitkan individu dan kumpulan tabligh yang hadir membuat saringan secara ‘drive through’ di Klinik Kesihatan Tang Lin. Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador turut meluangkan masa melawat sesi saringan tersebut. FOTO Safeek Affendy Razali

Sementara itu, tinjauan mendapati, seawal 10 pagi puluhan individu jemaah tabligh yang sudah berdaftar berbaris menunggu giliran untuk menjalani proses saringan dan pemeriksaan Covid-19.

Setiap individu melakukan proses pendaftaran dari dalam kenderaan mereka melalui kaunter di khemah pendaftaran disediakan.

Proses pendaftaran berkenaan dilakukan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap berpakaian khas untuk mencegah Covid-19 berserta penutup hidung dan sarung tangan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 5:04 PM