Balqis Jazimah Zahari


KERAJAAN negeri menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu dan tohmahan terhadap pasukan barisan hadapan yang bertugas menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tohmahan dan berita palsu disebar langsung tidak membantu usaha membendung COVID-19.

“Kita dapat lihat anggota polis bertungkus-lumus menguatkuasakan PKP demi kepentingan umum.

“Bagaimanapun, ada yang melontarkan tohmahan mengatakan operasi penguatkuasaan terhadap bas ekspres tidak berlangsung atas arahan polis. Ia tidak benar sama sekali,” katanya kepada media ketika melawat lokasi sekatan jalan raya di Jalan Raja Dihilir di sini, hari ini.

DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu membuat lawatan ke lokasi sekatan jalanraya di bawah Perintah Kawalan Pergerakan untuk mengucapkan penghargaan kepada warga polis sempena Hari Polis ke-213 di Jalan Raja Dihilir. FOTO Ihsan Pejabat Menteri Besar Perak
DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu membuat lawatan ke lokasi sekatan jalanraya di bawah Perintah Kawalan Pergerakan untuk mengucapkan penghargaan kepada warga polis sempena Hari Polis ke-213 di Jalan Raja Dihilir. FOTO Ihsan Pejabat Menteri Besar Perak

Turut hadir Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain.

Pada masa sama, Ahmad Faizal turut mengambil kesempatan mengucapkan penghargaan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Hari Polis ke-213.

“Pengorbanan dan dedikasi yang dipamerkan anggota PDRM dalam memastikan PKP berjalan lancar amat dihargai.

“Saya mewakili seluruh rakyat Perak mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada semua anggota PDRM atas jasa mereka kepada kita semua,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 7:26 PM
    Digital NSTP Subscribe