PENYELARAS program bantuan asnaf, Dr Azhar Jaafar (kiri) menyampaikan bantuan kepada penerima di Taman Seri Inderapura. FOTO Mohd Rafi Mamat
PENYELARAS program bantuan asnaf, Dr Azhar Jaafar (kiri) menyampaikan bantuan kepada penerima di Taman Seri Inderapura. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


“HASIL sumbangan penduduk setempat dan kariah Masjid Ittifaqiyyah Taman Seri Inderapura, Kuantan untuk tabung Covid-19 kami diagihkan kepada golongan asnaf.

“Keperluan harian seperti beras, gula, telur, ayam dan wang saku diberikan bagi meringankan beban mereka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Dr Azhar Jaafar selaku penyelaras program itu.

Menurutnya, golongan terbabit yang terdiri daripada ibu tunggal, warga emas, cacat dan menghadapi masalah kesihatan perlu dibantu terutama dalam keadaan sekarang aktiviti harian tidak dapat dilakukan.

Katanya, barangan bantuan dihantar ke setiap rumah penerima dan rata-rata mereka gembira dan bersyukur menerima sumbangan terbabit yang tidak disangka.

“Seramai 21 individu menerima bantuan tabung Covid-19 yang disumbangkan oleh penduduk setempat termasuk kariah Masjid Ittifaqiyyah Taman Seri Inderapura yang prihatin dengan nasib golongan terbabit.

“Program bantuan untuk asnaf julung kali diadakan anjuran Jawatankuasa Masjid Ittifaqiyyah Taman Seri Inderapura bagi asnaf yang terputus bekalan makanan,” katanya, di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Masjid Ittifaqiyyah Taman Seri Inderapura berkata, bantuan yang diberikan diharap dapat meringan beban golongan terbabit ketika PKP dilaksanakan.

Azhar berkata, pihaknya akan memikirkan bantuan kedua sekiranya PKP terpaksa dilanjutkan oleh kerajaan sekiranya wabak Covid-19 masih tidak dikawal sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 8:25 PM
Digital NSTP Subscribe