GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


HOSPITAL Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang dijadikan sebagai Hospital Covid-19 di negeri ini berkuat kuasa semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, langkah itu diambil Jabatan Kesihatan Negeri Johor berikutan peningkatan kes wabak Covid-19 di negeri ini.

“Bagi kes bukan kecemasan dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran berikutan status HEBHK dijadikan Hospital Covid-19.

“Perkhidmatan di hospital berkenaan juga akan dikurangkan, ditangguhkan serta dipindahkan termasuk bagi rawatan harian (talasemia) yang akan dipindahkan ke hospital berhampiran.

“Pembedahan elektif dan prosedur Rawatan Harian juga ditangguhkan di HEBHK dengan Jabatan Pesakit Luar dan Perkhidmatan Klinik Pakar dipindahkan ke bekas Bangunan Pentadbiran Kolej Kejururawatan Kluang, yang terletak bersebelahan Hospital Kluang lama mulai 29 Mac ini.

“Operasi klinik selepas waktu pejabat di hospital berkenaan turut ditangguhkan dan semua kemasukan pesakit baharu bukan Covid-19 dihentikan kecuali kes bersalin kecemasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kahang berkata, orang ramai dinasihatkan untuk memberi kerjasama dalam memastikan pelaksanaan fungsi baharu HEBHK, Kluang sebagai Hospital Covid-19 berjalan lancar.

“Sebarang pelawat juga adalah tidak dibenarkan melawat sepanjang tempoh pesakit Covid-19 dirawat di hospital itu, ” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Johor melaporkan penambahan sebanyak 34 kes wabak Covid-19 yang menjadikan jumlah sebanyak 196 kes sehingga semalam.

“Berlaku pertambahan sebanyak dua kematian semalam di Johor, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian sebanyak lima orang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 11:19 AM