SYEIKH Fadzil Awang. FOTO Ihsan Jabatan Mufti Kedah
SYEIKH Fadzil Awang. FOTO Ihsan Jabatan Mufti Kedah
Noorazura Abdul Rahman


INDIVIDU yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dianggap berdosa kerana tidak mematuhi arahan pemerintah bagi membendung penularan Covid-19.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, orang ramai wajib mengikut arahan pemerintah (ulul amri) kerana dalam agama Islam sendiri sudah memberi panduan mengenai menjaga kemaslahatan umat.

“Jangan anggap apabila kita melanggar peraturan ini, kita hanya melanggar undang-undang negara. Sebaliknya pelanggaran perintah itu juga sebenarnya adalah satu kesalahan dalam agama, jadi mereka perlu kembali ke pangkal jalan.

“Berdosa sekiranya kita tidak mematuhi arahan PKP yang dibuat demi kesejahteraan ummah. Justeru saya berharap semua pihak dapat patuh serta mengelak daripada mengingkari sebarang arahan pihak berwajib dalam menangani Covid-19 ini,” katanya selepas menghadiri pelancaran aplikasi Asnaf Care Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Alor Setar, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.

Sementara itu, Syeikh Fadzil berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan penangguhan semua aktiviti di masjid termasuk solat Jumaat dilanjutkan sehingga 14 April depan selaras dengan tempoh lanjutan PKP.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh lanjutan PKP sehingga 14 April ini susulan peningkatan kes positif Covid-19.

Katanya, keputusan pelanjutan itu dimaklumkan lebih awal bagi memberi ruang kepada rakyat untuk membuat persediaan awal dan akan dikaji dari semasa ke semasa.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 1:40 PM
    Digital NSTP Subscribe