X
MAINJ menyalurkan bantuan kepada bukan golongan asnaf yang susah dan terkesan dengan PKP. FOTO ihsan MAINJ
MAINJ menyalurkan bantuan kepada bukan golongan asnaf yang susah dan terkesan dengan PKP. FOTO ihsan MAINJ


MAJLIS Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) meminta golongan bukan asnaf yang terkesan dan susah sepanjang tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya menghubungi MAINJ daerah atau pejabat daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, golongan itu akan dibantu menerusi sumbangan zakat.

Katanya, golongan itu boleh terus menelefon dengan memberitahu butiran serta maklumat diri bagi tujuan bantuan barangan keperluan asas.

“Asalkan mereka (golongan bukan asnaf) betul-betul susah, terdesak dan terkesan dengan keadaan sekarang ini kita akan salurkan bantuan.

“Mereka tidak perlu datang ke Pejabat MAINJ tetapi hanya perlu telefon pejabat MAINJ daerah atau pejabat daerah serta beri butiran serta maklumat diri untuk bantuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

MAINJ Johor Bahru boleh dihubungi di talian 07-2282941, MAINJ daerah Muar 06-9534263, MAINJ daerah Batu Pahat 07-4343566, MAINJ daerah Segamat 07-9312254, MAINJ daerah Kluang 07-7728690, MAINJ daerah Pontian 07-6879493, MAINJ daerah Kota Tinggi 07-8832444, MAINJ daerah Mersing 07-7991073, MAINJ daerah Tangkak 07-9783479, MAINJ daerah Kulai 07- 5985104 @ 07- 5988127, Pejabat Kutipan Zakat Pasir Gudang 07-2544406 dan Pejabat Wakaf MAINJ 07-2221655.

Tosrin berkata, MAINJ menerima RM5.7 juta daripada agihan Pusat Zakat menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi akibat kesan penularan wabak Covid-19.

Katanya, selain itu, 4,280 ketua keluarga orang Asli seluruh negeri ini juga akan dibantu dari segi bantuan barangan keperluan makanan asasi.

“Turut kita bantu 200 orang kurang upaya (OKU) seluruh Johor, 300 pelajar tahfiz dan madrasah yang tidak pulang ke rumah sepanjang PKP ini.

“Selain itu, kita juga menyalurkan bantuan one off kepada 200 peniaga kecil yang terdiri dari golongan asnaf sebanyak RM500,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 1:51 PM
Digital NSTP Subscribe