FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nor Farhani Che Ad


SERAMAI 11 lelaki termasuk seorang penuntut ditahan selepas didapati merusuh di Taman Selasih, Kulim, semalam.

Lelaki berusia 21 hingga 37 tahun ditahan ketika sedang bergaduh di hadapan sebuah rumah pada 10.15 malam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, pergaduhan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara jiran di kawasan itu.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek sebelum itu berkumpul di hadapan rumah berkenaan sehingga tercetusnya pergaduhan.

“Puncanya kerana perselisihan faham sesama jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusuf berkata, hasil siasatan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Selain itu katanya, siasatan turut mengikut Seksyen 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kesemua mereka direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Sabtu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 2:59 PM
Digital NSTP Subscribe