X
Amir Abd Hamid


KERAJAAN bakal menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) lebih tegas dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) peringkat kedua bermula 1 hingga 14 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, diharapkan dengan penguatkuasaan tegas itu maka selepas 14 April tidak perlu dilanjutkan lagi PKP.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah pun diminta memperkenalkan SOP baru dengan peraturan lebih tegas berbanding dilaksanakan ketika ini.

“Jadi mungkin selepas ini banyak sekatan akan dilaksanakan.

“Sama ada dari segi pembelian makanan, membeli-belah dan sebagainya.

“Saya tak boleh umumkan lagi kerana pihak MKN akan come out (bentangkan) SOP lebih tegas bagi memastikan langkah kerajaan perkenalkan PKP berjaya untuk menyekat penularan Covid-19 di negara kita,” katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Putrajaya, hari ini.

Beliau sekali lagi menegaskan setiap rakyat Malaysia mampu untuk menyekat penularan Covid-19 atau memutuskan rantaian virus itu dari terus merebak dengan mematuhi arahan ditetapkan kerajaan.

“Tanggungjawab kita untuk pastikan bahawa selepas dua minggu iaitu selepas tarikh 14 April nanti tidak akan ada lagi sambungan PKP perlu dilaksanakan.

“Kuasa yang ada adalah di tangan setiap rakyat Malaysia.

“Oleh itu seperti biasa kekal tinggal di rumah, kekal selamat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 3:19 PM
    Digital NSTP Subscribe