MUFTI Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.
MUFTI Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.
BERNAMA

JAWATANKUASA Fatwa Negeri Melaka bersetuju menetapkan hukum sebagai ‘harus’ untuk menggunakan kutipan umum tabung khairat masjid bagi membantu anak kariah yang memerlukan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil menerusi kenyataan hari ini berkata, ketetapan itu dibuat melalui perbincangan jawatankuasa itu berhubung PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April ini bagi menangani wabak Covid-19.

“Harus bagi masjid di Melaka mengeluarkan sebahagian daripada kutipan umum tabung berkenaan untuk digunakan membantu anak kariah yang menghadapi kesempitan hidup dalam keadaan sekarang.

“Dengan syarat kutipan itu bukan daripada tabung dikhaskan seperti wakaf masjid, pembinaan masjid, anak yatim dan sebagainya.

“Sumbangan dikeluarkan tertakluk kepada kemampuan masjid,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali dalam kenyataan berkata, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dalam mesyuarat khas Covid-19 semalam, meluluskan Bantuan Tambahan Kecemasan (Makanan) sebanyak RM100,000 bagi pemohon bukan kategori asnaf, tetapi dalam kategori B40.

“Menerusi peruntukan tambahan ini, jumlah keseluruhan diperuntukkan MAIM bagi mengurangkan beban golongan sasar itu berjumlah RM150,000.

“MAIM turut membuka Bilik Gerakan Covid-19 sejak 20 Mac dan sebarang pertanyaan, orang ramai boleh merujuk laman web rasmi dan Facebook rasmi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 4:37 PM
    Digital NSTP Subscribe