Zuliaty Zulkiffli


TUJUH lelaki, termasuk warga emas ditahan kerana ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pemeriksaan di sekitar Kuala Kedah, Alor Setar, hari ini.

Kesemua mereka yang berusia antara 30-an hingga 70-an ditahan di dua lokasi berasingan di Kuala Kedah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, dalam pemeriksaan pertama di sebuah kedai makan di Kubang Rotan, enam lelaki ditahan ketika sedang berkumpul di situ.

Beliau berkata, tindakan mereka itu boleh mengundang risiko penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) ketika ini, malah ada yang tidak memakai penutup mulut dan hidung.

“Berikutan itu anggota kami menahan mereka, termasuk lelaki warga emas berusia 70-an dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk dibuat laporan tangkapan.

“Seorang lagi pula ditahan di kawasan berhampiran ketika sedang merokok di satu tempat dan anggota kami meminta dia beredar dari situ, namun dia enggan menyebabkan kami terpaksa menahannya,” katanya ketika ditemui di IPD Kota Setar, hari ini.

Mohd Rozi berkata, jumlah tangkapan di daerah ini sepanjang tempoh PKP dilaksanakan adalah 10 orang.

Beliau berkata, ia termasuk kes seorang lelaki selepas menularkan rakaman video ketika kenduri ‘kepala kambing’ yang dituduh di mahkamah semalam serta penganjur majlis kenduri itu, manakala seorang lagi ditahan di sekatan pemeriksaan polis di Alor Janggus, malam tadi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana berkumpul menyebabkan merebaknya penyakit berjangkit dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPPB (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

    “Sebelum ini kita sudah memberi nasihat kepada orang ramai supaya duduk di rumah sepanjang tempoh PKP ini namun masih ada yang tidak patuh dengan arahan dan keluar tanpa mengira waktu.

    “Tindakan mereka itu boleh menyebabkan bilangan kes yang dijangkiti Covid-19 di daerah ini meningkat dan kita terpaksa melaksanakan pelbagai langkah supaya masyarakat tidak keluar rumah sepanjang tempoh PKP ini,” katanya.

    Mohd Rozi berkata, pihaknya akan meneruskan tangkapan dilakukan sekiranya didapati masih ada yang degil dan berkumpul di tempat awam yang boleh menyebabkan jangkitan berlaku.

    Beliau berkata, bukan semua orang ramai yang berada di atas jalan atau di luar akan ditahan tetapi mereka yang degil dan tidak mematuhi arahan pihak berkuasa akan ditahan.

    “Selain itu, kita akan menutup dua lagi laluan di sekitar bandar ini menjadikan kesemua laluan ditutup adalah sebanyak 27 laluan.

    “Dengan langkah ini kita berharap supaya orang ramai duduk di rumah dan hanya mereka yang mempunyai urusan penting termasuk membeli barangan rumah, kerja atau kecemasan dibenarkan berada di atas jalan,” katanya.

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 4:39 PM
    PIHAK berkuasa menahan lelaki di sebuah kedai makan kerana berkumpul dan ingkar PKP. FOTO Zuliaty Zulkiffli
    PIHAK berkuasa menahan lelaki di sebuah kedai makan kerana berkumpul dan ingkar PKP. FOTO Zuliaty Zulkiffli
    Digital NSTP Subscribe