NELAYAN boleh turun ke laut. FOTO NSTP
NELAYAN boleh turun ke laut. FOTO NSTP


PERSATUAN Nelayan Kawasan Melaka Barat (PNKMB) meminta 300 ahlinya supaya tidak bimbang turun ke laut berikutan mereka tidak tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia bagi menjamin bekalan bahan makanan untuk rakyat sentiasa mencukupi dan setakat ini belum ada nelayan dikenakan tindakan kerana mencari rezeki di laut.

Pengerusinya, Mazelan Bakar berkata, persatuan itu tidak menerima arahan daripada Jabatan Perikanan mengenai larangan turun ke laut atau aduan nelayan dikenakan tindakan undang-undang kerana melanggar PKP.

“Setakat ini tiada arahan supaya nelayan tidak turun ke laut dan jika tiada nelayan menangkap ikan, siapa yang boleh membekalkan makanan laut kepada penduduk?” katanya ketika ditemui di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya nelayan tidak dibenarkan turun ke laut berikutan PKP dan ada nelayan tertentu dikatakan terpaksa akur dengan larangan itu kerana bimbang dikenakan tindakan undang-undang.

Sementara itu, nelayan Abdul Hamid Nor, 51, berkata, dia turun ke laut bagi memastikan tidak putus wang perbelanjaan harian keluarga masing-masing.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diizinkan menangkap ikan kerana kalau tidak turun ke laut, sudah pastilah dapur tidak berasap dan orang ramai tidak dapat makan ikan.

“Nelayan adalah golongan B40 dan jika disekat daripada mencari rezeki, keluarga tidak mempunyai wang perbelanjaan harian sama ada untuk mendapatkan bahan makanan atau membayar perkhidmatan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 4:43 PM
    Kabinet Malaysia 2020