PETUGAS Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memeriksa suhu badan lapan jemaah tabligh dari Makassar dan Jakarta yang tiba di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour sebagai langkah mencegah penularan Covid-19. FOTO BERNAMA
PETUGAS Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memeriksa suhu badan lapan jemaah tabligh dari Makassar dan Jakarta yang tiba di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour sebagai langkah mencegah penularan Covid-19. FOTO BERNAMA
Nurul Amanina Suhaini

LAPAN jemaah tabligh Malaysia yang hadir ke Himpunan Ijtima’ Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi, Indonesia dan tiba di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour hari ini, negatif Covid-19.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua jemaah dari Johor itu negatif bagi saringan pertama.

Mereka turut diarahkan menjalani kuarantin 14 hari.

“Kami jangka 30 lagi jemaah tabligh Malaysia daripada himpunan berkenaan akan tiba dalam tempoh terdekat.

“Mereka semua wajib melakukan saringan dan jalani tempoh kuarantin. Tempat pendaratan yang dijangka tiba itu mungkin dari laluan Terminal Feri Antarabangsa Stulang, Stulang Laut atau Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour,” katanya selepas mengadakan lawatan di Balai Ketibaan Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, hari ini.

Menurut beliau, rekod menunjukkan ada 1,716 jemaah tabligh di Johor.

Katanya, daripada jumlah itu, 1,704 sudah menghadiri saringan manakala 12 jemaah tabligh belum berbuat demikian.

“Kita lihat sudah ada tahap kerjasama dalam kalangan jemaah tabligh untuk tampil, kita harap bakinya hadir berbuat demikian.

“Kita tidak tetapkan tarikh (bila perlu buat saringan) tapi kita sudah kenal pasti dan kita akan hantar pasukan untuk pujuk mereka buat saringan,” katanya.

Beliau berkata, bermula 23 Mac lalu sehingga kini, 36 jemaah tabligh Malaysia yang terbabit dengan perhimpunan berkenaan sudah tiba ke negara.

“Mereka (jemaah tabligh) berasal dari seluruh negara seperti Kelantan, Selangor selain Johor,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Batu Pahat dan Kluang direkodkan sebagai lokasi panas Covid-19.

“Di lokasi panas, kami tingkatkan sekatan jalan raya kepada lima berbanding tiga sekatan di lokasi lain.

“Kami turut meningkatkan kekerapan rondaan unit MPV bagi memastikan tahap kepatuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berada pada tahap maksimum,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 6:08 PM