FARINA mengakses nota dan tugasan yang dimuat naik pensyarah melalui laman web ukmfolio. FOTO Ihsan Farina
FARINA mengakses nota dan tugasan yang dimuat naik pensyarah melalui laman web ukmfolio. FOTO Ihsan Farina
Nurul Hidayah Bahaudin dan Murnaena Muhammad Nasir


PENUNTUT institusi pengajian tinggi (IPT) mengambil pendekatan menggunakan kaedah pembelajaran secara digital melalui sidang video bagi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor, Raihana Munira Rohaizi, 22, berkata, penuntut dan pensyarah menggunakan aplikasi untuk melakukan sidang video dalam sesi pembelajaran.

“Penggunaan sidang video itu bermula pada 15 hingga 18 Mac lalu sebelum pihak pengurusan universiti mengeluarkan pekeliling memaklumkan cuti diberikan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

“Dalam tempoh itu, ada pensyarah mengadakan kelas menggunakan sidang video mengikut waktu asal jadual kelas mereka bagi memudahkan sesi pembelajaran dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Raihana berkata, penggunaan sidang video menggantikan kelas dalam sesi pembelajaran dilihat tidak begitu diminati penuntut.

“Ada kelas boleh menggunakan kaedah itu, namun ia agak sukar bagi kelas membabitkan pengiraan kerana perlu ada interaksi antara pensyarah dengan kami.

“Bagaimanapun, kami masih menunggu pihak universiti memaklumkan kaedah pembelajaran baharu yang dicadang untuk digunakan selepas ini memandangkan belum ada keputusan terkini sama ada cuti kami disambungkan atau sebaliknya selepas pengumuman lanjutan PKP sehingga 14 April ini,” katanya.

Sementara itu, penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Farina Mohd Nor, 23, berkata, aplikasi Whatsapp dijadikan medium utama penyampaian maklumat antara pensyarah dan pelajar.

“Pensyarah memilih pendekatan pembelajaran ini kerana aplikasi berkenaan mudah diakses dan semua pelajar mempunyainya.

“Sebarang pertanyaan mengenai tugasan dengan pensyarah dan rakan sekelas akan dibincangkan melalui sidang video menerusi aplikasi ini.

“Bagi tugasan pembentangan, pelajar akan membuat video dan memuat naik di laman web ukmfolio yang boleh diakses oleh semua pelajar UKM.

Farina berkata, penggunaan aplikasi itu dilihat tidak memberi kelebihan yang menyeluruh kepada pelajar berbanding pembelajaran dalam kelas.

“Pembelajaran secara digital memerlukan pelajar mempunyai akses internet yang laju supaya mudah mendapatkan nota dan menghantar tugasan.

“Pelajar yang tidak mempunyai data internet yang laju di rumah pasti menyukarkan mereka mendapatkan maklumat.

“Ini menyebabkan proses pembelajaran yang sepatutnya berkonsepkan komunikasi dua hala menjadi komunikasi sehala,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 6:12 PM