MPIC mencadangkan semua pihak terbabit dengan industri getah beroperasi sepenuhnya dari 7 pagi hingga 10 malam. FOTO NSTP
MPIC mencadangkan semua pihak terbabit dengan industri getah beroperasi sepenuhnya dari 7 pagi hingga 10 malam. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


KEMENTERIAN Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC) mengenal pasti tempoh operasi pusat pembelian dan pengilang getah dari 7 pagi hingga 5 petang sebagai kurang efektif.

Sehubungan itu, MPIC mencadangkan semua pihak terbabit dengan industri getah beroperasi sepenuhnya dari 7 pagi hingga 10 malam bagi mengelak berlakunya masalah penjualan hasil torehan dan gangguan sektor berkenaan.

Timbalan Menteri 11 MPIC, Willie Mongin berkata, tempoh operasi pembeli dan pengilang yang tidak mencapai 100 peratus menimbulkan beberapa masalah terutama pengusaha untuk menjual hasil torehan mereka.

Beliau berkata, pihaknya akan membawa perkara itu kepada Menteri MPIC sebelum dibawa ke perbincangan peringkat Kabinet seberapa segera.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, mereka beroperasi dari 7 pagi hingga 10 malam dan kini kita akan minta mereka (pembeli) membuka pejabat dan premis seperti jadual asal untuk memudahkan urusan pengusaha kecil.

“Dalam masa sama, pengilang tidak dapat mengeluarkan secara penuh kerana tempoh operasi telah ditetapkan.

“Justeru, saya akan bawa perkara ini kepada Yang Berhormat Menteri supaya operasi kilang beroperasi sedia kala, supaya tidak timbul masalah kepada pengusaha kecil untuk menjual hasil getah dalam tempoh PKP ini.

“Dalam pada itu dapat memenuhi kuota pengeluaran kilang terbabit daripada pembeli dari luar negara,” katanya pada sidang media selepas melawat kilang Tenaga (Gemas) Sdn Bhd (Tenaga Gemas) di Pusat Perindustrian Kuala Gemas, di Gemas, hari ini.

Hadir sama, Ketua Unit Perlesenan dan Permit Lembaga Getah Malaysia (LGM), Md Nor Hassan dan Pengarah Urusan Tenaga Gemas, Er Hock Lai.

Pada masa sama, beliau berkata, sebanyak 21 juta sarung tangan akan diagihkan kepada pasukan dan agensi terbabit dalam barisan hadapan menangani Covid-19).

Menurutnya, sarung tangan getah itu sumbangan daripada mereka yang terbabit dalam industri getah tempatan.

Katanya, setakat ini tidak timbul isu kekurangan bahan berkenaan kerana kilang pengeluar masih beroperasi seperti biasa.

“Malaysia adalah pengeluar utama sarung tangan getah dan jika kilang ini tidak beroperasi selama 14 hari dalam tempoh PKP, ia akan mengurangkan 9.3 bilion unit untuk kegunaan negara dan dunia.

“Menyedari sarung tangan getah adalah sebahagian peranti dalam industri kesihatan dan menangani Covid-19), kerajaan akan ambil inisiatif untuk memastikan bekalannya mencukupi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 6:30 PM