PEGAWAI APMM Terengganu memeriksa suhu badan nelayan ketika meronda sekitar perairan Pulau Kapas dan Chendering. FOTO Zaid Salim.
PEGAWAI APMM Terengganu memeriksa suhu badan nelayan ketika meronda sekitar perairan Pulau Kapas dan Chendering. FOTO Zaid Salim.


TAHAP pematuhan warga laut dan pengusaha resort serta chalet terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Terengganu mencapai 100 peratus.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, sejak PKP dikuatkuasakan mulai 18 Mac lalu, mereka tidak melakukan sebarang aktiviti laut yang tidak dibenarkan.

“Kami amat berpuas hati dengan tahap pematuhan mereka. Sepanjang tempoh sembilan hari ini belum ada tangkap terhadap mereka yang ingkar.

“Pergerakan nelayan memang dibenarkan tetapi aktiviti lain seperti ‘sport fishing’, sewaan bot memancing dan candat sotong serta aktiviti rekreasi tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan rondaan di sekitar perairan Pulau Kapas dan Chendering, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, pihaknya turut melakukan ujian saringan terhadap nelayan bagi mencegah penularan wabak Covid-19 dalam kalangan nelayan di negeri ini.

“Kita melakukan saringan awal dengan memeriksa suhu badan semua nelayan yang berada di laut.

“Selain itu, kita menasihati mereka supaya sentiasa mementingkan keselamatan dan mengambil langkah pencegahan awal bagi membendung penularan wabak Covid-19 ini,” katanya.

Selain itu, katanya, aset APMM sentiasa berada di laut untuk melakukan pemantauan secara berterusan di sepanjang perairan negeri ini bermula dari Pulau Perhentian di Besut hingga ke Pulau Tenggol di Dungun.

Beliau berkata, selain menjalankan pencegahan wabak Covid-19, pihaknya tidak melupakan tugas hakiki mengawal perairan daripada diceroboh nelayan asing dan jenayah maritim lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 8:17 PM
Digital NSTP Subscribe