Maszlee. FOTO Arkib NSTP
Maszlee. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik meminta penduduk kawasan yang terjejas dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) supaya bertenang.

Maszlee berkata, penduduk juga perlu mengikuti arahan pihak berkuasa untuk kekal berada dalam rumah sepanjang perintah berkenaan berkuat kuasa.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membekalkan makanan asas yang mencukupi kepada penduduk di dua kawasan terbabit sepanjang PKPD.

“Pejabat Parlimen Simpang Renggam juga akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa untuk memastikan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) berjaya dikekang sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi Pejabat Parlimen, Maszlee berkata, pihaknya akan sentiasa memaklumkan dan mengemaskini info serta bantuan yang boleh disalurkan kepada penduduk di kawasan itu.

Beliau turut meminta penduduk menghubungi Pejabat Parlimen Simpang Renggam ini untuk sebarang aduan atau info di talian, 010-235 0151.

“Saya turut memohon rakyat Malaysia untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan seluruh penduduk Simpang Renggam dan petugas dalam mengharungi masa yang sukar ini,” katanya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan mengumumkan, dua kawasan penduduk di Simpang Renggam, Johor menjadi lokasi pertama dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai tengah malam ini, selepas 61 penduduknya dikesan positif Covid-19.

Dua kawasan itu membabitkan Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang.

Beliau dilaporkan berkata,tindakan itu dibuat atas nasihat Menteri Kesihatan susulan jumlah jangkitan positif Covid-19 yang tinggi di daerah Kluang.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati 83 kes positif COVID-19 di Kluang dan daripada jumlah itu, 61 kes adalah dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid.

Perintah PKPD membabitkan 3,570 orang penduduk tempatan terdiri daripada 650 keluarga.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 11:04 PM
    Digital NSTP Subscribe