Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


DUA lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput (U), di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menghalang penjawat awam menjalankan tugas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak Covid-19.

Kedua-dua tertuduh iaitu pekerja kilang, Muhamad Saiful Izhar Roslan, 25, dan pengusaha salon rambut, Chan Chee Heng, 36, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Berdasarkan pertuduhan Muhamad Saiful Izhar di dakwa enggan memberhentikan motosikal yang ditunggangnya dalam sekatan jalan raya walaupun sudah diarahkan polis untuk berbuat demikian.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dalam sekatan jalan raya berhampiran Kem Balak Jaya Setia, Sungai Siput pada 5.15 petang 26 Mac (semalam).

Manakala Chan pula didakwa enggan memberi dokumen pengenalan diri apabila diminta polis untuk berbuat demikian di hadapan Dewan Persatuan Penduduk Sungai Buloh, Sungai Siput pada 9.15 malam, semalam.

Bagi kedua-dua perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau boleh dikenakan denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.

Berdasarkan fakta kes, Muhamad Saiful Izhar diminta memberhentikan motorsikalnya ketika sekatan polis dilakukan.

Namun, tertuduh bertindak memecut motorsikal yang ditungganginya namun terbabas di kawasan berhampiran.

Sementara itu, Chan pula ditemui ketika pihak polis membuat pemantauan dan mendapati tertuduh bersama rakannya sedang duduk di atas motorsikal sambil menghisap rokok.

Pihak polis ketika itu memberi amaran kepada Chan terhadap kedua-dua mereka namun tertuduh enggan berganjak dan tidak mahu memberi dokumen pengenalan diri ketika diminta berbuat demikian.

Sebaliknya tertuduh memarahi penjawat awam yang bertugas.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap mereka.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 hari bermula dari tarikh tangkapan dan denda RM5,000 atau penjara 10 bulan jika gagal membayar denda terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 1:07 PM
    Muhamad Saiful  (kanan) dan Chee Heng (kiri) dihukum penjara 14 hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput (U), hari ini selepas kedua-duanya mengaku bersalah menghalang penjawat awam menjalankan tugas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
    Muhamad Saiful (kanan) dan Chee Heng (kiri) dihukum penjara 14 hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput (U), hari ini selepas kedua-duanya mengaku bersalah menghalang penjawat awam menjalankan tugas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI