ANTARA lima lelaki yang ditahan ketika memancing di Sungai Kampung Pasir Minal, Binjai, Chukai, malam tadi. FOTO ihsan polis.
ANTARA lima lelaki yang ditahan ketika memancing di Sungai Kampung Pasir Minal, Binjai, Chukai, malam tadi. FOTO ihsan polis.


LIMA lelaki yang tidak menghiraukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditahan polis ketika memancing ikan di kawasan sungai di ladang sawit Pasir Minal, Binjai, Chukai, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, semua yang ditahan itu berusia antara 30 hingga 39 tahun dan direman sehingga 30 Mac.

Beliau berkata, sebelum tangkapan, pasukan khas Covid-19 Kemaman sedang menjalankan Rondaan Op Covid-19 di kawasan itu pada 11.50 malam.

“Anggota kami ternampak kelibat lima lelaki terbabit dan sebaik menghampiri, semua suspek ketika itu sedang memancing ikan.

“Mereka tidak melarikan diri sebelum ditahan dan soal siasat awal mendapati mereka berada di lokasi untuk memancing ikan walaupun PKP sudah dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hanyan berkata, mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan hasil ujian air kencing yang dilakukan mendapati semuanya negatif mengambil dadah.

“Mereka ditahan kerana didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan) 2020.

“Semua suspek adalah penduduk tempatan dan direman sehingga 30 Mac,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 4:14 PM