MOHD Hazlen Ramli (kanan) menunjukkan set pelindung muka edisi khas kepada Dr Norazmi. FOTO ihsan KKTMKu
MOHD Hazlen Ramli (kanan) menunjukkan set pelindung muka edisi khas kepada Dr Norazmi. FOTO ihsan KKTMKu


MENYEDARI risiko dihadapi petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara Kuantan (KKTMKu) mengambil inisiatif menghasilkan set pelindung muka edisi khas.

Setakat ini, kolej itu sudah mengagihkan 48 pelindung muka kepada empat hospital di seluruh negara bagi memastikan petugas kesihatan terhindar daripada jangkitan wabak Covid-19.

Empat hospital itu ialah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, selain Hospital Taiping, Perak; Hospital Melaka dan Hospital Putrajaya.

Pengarah KKTMKu, Mohd Hazlen Ramli berkata, penghasilan pelindung muka edisi khas itu atas inisiatif menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kolej berkenaan.

Katanya, alat berkenaan juga mempunyai kelebihan kerana boleh direndam dalam air panas dan diguna semula kerana menggunakan bahan berkualiti tinggi.

“Peralatan itu dihasilkan khusus untuk petugas kesihatan iaitu doktor dan jururawat yang terbabit secara langsung dengan pesakit Covid-19

“Kita mengharapkan dengan sumbangan pelindung muka ini akan membantu petugas kesihatan menjalankan tugasan mereka dengan lebih selamat,” katanya.

Terdahulu, Mohd Hazlen menyerahkan 18 pelindung muka edisi khas kepada Pengarah HTAA, Dr Norazmi Abdullah.

Katanya, pihaknya bersedia menambah penghasilan alat berkenaan berdasarkan permintaan dan keperluan petugas kesihatan.

“Kita berharap ia dapat membantu dan memberi keselesaan kepada petugas yang berdepan tugas yang mencabar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 6:24 PM