ABDUL Rahman (tengah) menerima sumbangan barangan keperluan asas. FOTO Ihsan Kelab Sukarelawan (Volunteer i Care).
ABDUL Rahman (tengah) menerima sumbangan barangan keperluan asas. FOTO Ihsan Kelab Sukarelawan (Volunteer i Care).
Hazira Ahmad Zaidi


“KAMI sekeluarga makan apa adanya asalkan perut beralas dan itupun mengharapkan simpati jiran tetangga,” kata Abdul Rahman Abdullah, 34.

Abdul Rahman yang juga orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan berkata, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan 18 Mac lalu, duit simpanannya sudah hampir kehabisan dan terpaksa mencatu makanan.

Katanya, dia yang sebelum ini bekerja sebagai tenaga pengajar di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Sarawak diberhentikan kerja pada Februari tahun lalu selepas kedua-dua belah matanya buta.

“Saya hilang penglihatan sebelah kanan pada 2012 disebabkan penyakit glukoma, bagaimanapun pada 2016 penglihatan sebelah kiri saya pula ditarik kerana masalah gangguan saraf.

“Selepas diberhentikan kerja, saya mencari pelbagai pekerjaan untuk menyara isteri, Maizatul Akmal Abdullah, 28, dan anak tunggal kami, Asfar yang kini berusia setahun tiga bulan.

“Disebabkan keadaan saya yang cacat penglihatan tiada yang mahu mengambil saya bekerja sehinggalah isteri mengambil keputusan untuk menjual nasi lemak dengan purata pendapatan harian sekitar RM50.

“Kami baharu sebulan menjual nasi lemak sebelum PKP diumumkan. Saya buntu memikirkan nasib kami sekeluarga... Sampai bila mahu mengharapkan belas simpati untuk sesuap nasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu Bendahari Kelab Sukarelawan (Volunteer i Care), Saripah Ismail menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada Abdul Rahman dan 30 asnaf yang terjejas berikutan penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Sukarelawan (Volunteer i Care), Muhammad Afiq Aiman Sukry berkata, bagi sumbangan barangan keperluan asas ini, pihaknya menjalinkan usaha sama Kelab dengan sebuah portal, Kita Fund.com selain beberapa individu yang turut menghulurkan sumbangan untuk membantu golongan asnaf di negeri ini.

“Sumbangan barangan keperluan asas ini memberi manfaat kepada 400 penerima di sekitar Kota Bharu, Tumpat dan Pasir Puteh yang kebanyakannya terdiri daripada penjaja, buruh dan anak yatim, selain penuntut.

“Kami memahami kesukaran mereka untuk keluar mencari rezeki sepanjang tempoh PKP dan berharap barangan keperluan asas yang diberikan ini dapat menampung keperluan mereka seisi keluarga,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 10:14 AM