X
ANGGOTA APMM mengambil keterangan daripada tekong bot. FOTO ihsan APMM
ANGGOTA APMM mengambil keterangan daripada tekong bot. FOTO ihsan APMM
Ahmad Rabiul Zulkifli


ENAM nelayan yang dilaporkan hilang di laut selepas keluar menangkap ikan sejak 20 Mac lalu ditemui selamat di kedudukan 44 batu nautika perairan Pahang, petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung bot berkenaan daripada Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat (MRSC) Pahang.

Menurutnya, bot Penggalang 19 kemudian dihantar ke lokasi sebelum menemui sebuah bot bersama enam nelayan berusia 30 hingga 60 tahun ditemui dalam keadaan selamat pada 3.35 petang.

“Tekong bersama awak-awak ditemui dalam keadaan selamat dan difahamkan bot mereka dihanyutkan sehingga ke perairan Pahang selepas mengalami kerosakan enjin.

“Bot nelayan kelas C itu ditunda oleh bot nelayan lain ke jeti Kuala Kemaman untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, pihaknya berterima kasih kepada komuniti nelayan dan aset daripada agensi lain yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) berkenaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan APMM mengaktifkan SAR bagi mengesan enam nelayan dari yang tidak pulang sejak 20 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 4:03 PM