PARAS air di Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah menyusut akibat kekurangan hujan sejak April 2019. FOTO Hassan Omar
PARAS air di Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah menyusut akibat kekurangan hujan sejak April 2019. FOTO Hassan Omar


CATUAN bekalan air di seluruh Melaka sejak 29 Januari lalu akan ditamatkan pada Rabu ini berikutan peningkatan paras air di tiga empangan utama sejak minggu lalu.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, catuan air di Zon Satu di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin sejak 29 Januari lalu dan catuan di Zon Dua di kawasan tertentu dalam daerah Alor Gajah dimulakan sejak 10 Mac lalu akan ditamatkan.

Beliau berkata, paras air Empangan Tunggal di Alor Gajah dijangka mencapai tahap 43 peratus pada Rabu ini sebelum mencapai tahap 60 peratus, iaitu tahap membolehkan catuan air ditamatkan pada minggu ketiga April ini.

Dalam kenyataannya di Alor Gajah, hari ini, Sulaiman berkata, langkah berkenaan akan memberi manfaat kepada 80 peratus atau 735,221 isi rumah termasuk kawasan perindustrian dan perhotelan.

Beliau berkata, berdasarkan ramalan cuaca Jabatan Meteorologi, fasa peralihan monsun sudah bermula pada Jumaat lalu dan Melaka dijangka menerima kadar hujan lebih baik bagi membantu menaikkan paras empangan dan kolam takungan sedia ada.

“Bagaimanapun, jika taburan hujan kembali tidak konsisten dan paras Sungai Melaka dan Sungai Batang Melaka menurun di bawah paras normal, masing-masing di bawah paras 1.6 meter dan 4 meter, pengguna di Zon Satu dan Zon Dua akan mengalami gangguan bekalan air luar jangka, iaitu mereka menerima tekanan air rendah sebelum bekalan terhenti.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) perlu mengaktifkan semula catuan air dengan segera apabila paras takungan berada pada tahap kurang 40 peratus dan menunjukkan aliran menurun.

“Ia terpaksa dilaksanakan bagi menghadapi gelombang kedua musim panas yang lazimnya berlaku pada Julai hingga September,” katanya.

Paras air di Empangan Durian Tunggal setakat semalam ialah 12,620 juta liter atau 40.9 peratus manakala Empangan Jus dan Empangan Asahan di Jasin, masing-masing 9,975 juta liter (23 peratus) dan 507 juta liter (72.8 peratus).

Selain itu, paras kolam takungan di ‘Bunded Storage 1’ setakat semalam ialah 1.79 meter manakala di ‘Bunded Storage 2’ ialah 1.77 meter.

Kadar hujan di Melaka pada bulan ini ialah 237 milimeter (mm) berbanding 50 mm pada Februari lalu dan 44 mm pada Januari 2020 dan ia jauh lebih tinggi berbanding 60 mm pada Mac 2019 dan 19 mm pada Februari 2019 dan 52 mm pada Januari 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 4:38 PM