AHMAD Fahmi mengajar Bahasa Arab menerusi Facebook sepanjang tempoh PKP. FOTO ihsan pembaca
AHMAD Fahmi mengajar Bahasa Arab menerusi Facebook sepanjang tempoh PKP. FOTO ihsan pembaca
Nur Izzati Mohamad

PADA mulanya hanya mahu mengajar pelajarnya sahaja tetapi tidak sangka ada segelintir warganet turut mahu mendalami ilmu Bahasa Arab yang disampaikannya secara atas talian menggunakan laman sosial Facebook.

Itu yang diceritakan Ahmad Fahmi Abu Bakar iaitu pemilik pusat tahfiz Madrasah Al Quran Wal Arabiyyah (MAWAR) yang menggunakan Facebook untuk mengajar 100 pelajarnya sepanjang Perintah Pergerakan Kawalan (PKP).

Ahmad Fahmi berkata, setiap pendidik kini mengambil pendekatan dengan memanfaatkan penggunaan teknologi sejak PKP dilaksanakan untukmemantau dan memberi latih tubi kepada pelajar mereka.

Perkara itu tidak terkecuali bagi pelajar di pusat tahfiznya apabila dia mengajar Bahasa Arab kepada pelajarnya melalui saluran Facebook institusi itu hingga mendapat perhatian ribuan warganet yang turut mengikuti pembelajaran berkenaan.

“Apabila kerajaan mengumumkan rakyat perlu menjalani PKP berikutan penularan wabak COVID-19 saya sudah berfikir apa yang perlu dilakukan supaya pelajar saya tidak hanya duduk di rumah apatah lagi tempoh masa yang agak lama.

“Berikutan itu, saya memikirkan kaedah penggunaan teknologi untuk mengajar mereka lalu saya wujudkan kelas Bahasa Arab secara dalam talian di Facebook pusat tahfiz selama satu jam bermula 9 pagi hingga 10 pagi.

“Selepas dua ke tiga hari bersiaran saya mula nampak bukan pelajar saya sahaja mengikuti kelas itu tetapi terdapat netizen lain yang turut menyaksikan pembelajaran yang diadakan secara langsung dan ia sesuatu perkara yang positif,” katanya ketika dihubungi di Tasek Gelugor, hari ini.

Ahmad Fahmi berkata, setiap hari lebih 1,000 pelayar Facebook mengikuti kelas Bahasa Arab yang diadakannya.

“Ini perkara yang baik dan mengisi masa lapang apatah lagi ketika kita sekarang menjalani PKP.

“Sesi pembelajaran yang dijalankan oleh saya adalah secara dua hala iaitu saya juga akan menjawab persoalan daripada mereka di siaran langsung untuk memudahkan mereka lebih memahami apa yang diajar,” katanya.

Menurutnya, dia mengajar asas Bahasa Arab supaya mereka yang tidak pernah belajar subjek itu dapat mengikutinya dan setiap hari sekurang-kurangnya 10 perkataan baru diajar pada setiap sesi kelasnya.

“Jadi apabila PKP dilaksanakan hingga 14 April ini mungkin mereka yang mengikuti kelas saya akan mempelajari 300 perkataan dan paling gembira boleh bercakap dalam bahasa al-Quran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 12:58 PM