ORANG ramai membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Pasar Batu Enam, Kuala Terengganu, Mei tahun lalu. FOTO GHAZALI KORI
ORANG ramai membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Pasar Batu Enam, Kuala Terengganu, Mei tahun lalu. FOTO GHAZALI KORI
Ahmad Rabiul Zulkifli


KERAJAAN negeri Terengganu tidak mengizinkan bazar Ramadan diadakan di seluruh negeri pada tahun ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pembatalan bazar Ramadan itu dipersetujui melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Terengganu Bagi Menangani Covid-19 pada 29 Mac lalu yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Bazar Ramadan tidak sesuai diadakan seperti biasa memandangkan PKP dilanjutkan sehingga 14 April iaitu 10 hari sebelum awal Ramadan selain mengambil kira suasana tidak menentu ketika ini.

“Kewujudan bazar Ramadan itu boleh menyebabkan risiko berlakunya kontak rapat seterusnya memberi kesan kepada kebarangkalian untuk berlaku penularan semula virus Covid-19 dan merencatkan usaha kerajaan untuk membasmi wabak itu sepenuhnya.

“Oleh itu kami bersetuju untuk meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini membatalkan penganjuran bazar Ramadan berasaskan kepada klasifikasi bazar Ramadan yang tidak termasuk dalam kategori ‘essential services,” katanya melalui satu kenyataan dikeluarkan di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyarankan kepada semua peniaga bazar Ramadan untuk membuat persediaan akibat pembatalan itu dengan mempertimbangkan alternatif kaedah perniagaan lain.

Menurutnya, peniaga boleh mengusahakan pemasaran perniagaan secara atas talian (online), perkhidmatan penghantaran ke rumah untuk sebarang bentuk produk termasuk makanan atau menggunakan platform seperti Grab Food, Food Panda atau seumpama dengannya.

“Kerajaan negeri memperhalusi perkara ini dengan sebaik mungkin dan pembatalan itu dibuat selepas mengambil kira kesihatan serta nyawa semua pihak.

“Kerajaan negeri memandang serius masalah Covid-19 yang sedang melanda negeri dan negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada rakyat Terengganu kerana memberi komitmen tinggi seterusnya berjaya melepasi paras 95 peratus kepatuhan kepada PKP bermula sejak 18 Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 2:09 PM