FOTO HIASAN
FOTO HIASAN


SEMUA urusan akad nikah umat Islam di Pahang ditangguhkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Facebook Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam kenyataan menjelaskan tarikh penangguhan itu akan dilanjutkan sehingga satu tempoh yang ditentukan kerajaan.

“Keputusan ini dibuat bagi menjaga kemaslahatan semua pihak yang terbabit dalam urusan akad nikah.

“Oleh itu, semua pihak perlu mematuhi peraturan dan undang-undang sepanjang tempoh PKP ini bagi menjaga maslahah wabak Covid-19 tidak menjangkiti atau merebak kepada semua yang hadir.

“Bagi menyekat penularan wabak Covid-19, JAIP terpaksa tangguhkan dahulu apa jua majlis akad nikah,” katanya menerusi laman Facebook Jabatan Agama Islam Pahang, hari ini.

Baru-baru ini, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dilapor berkata, penganjuran Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam Negeri Pahang ditangguhkan.

“Penganjur kursus yang didapati melanggar arahan pekeliling itu akan akan dikenakan tindakan.

“Oleh itu, semua pihak diminta akur dan mematuhi arahan sepanjang tempoh berkuat kuasa PKP,” katanya dipetik.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 1:55 PM