DR NOOR Hisham ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
DR NOOR Hisham ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Amir Abd Hamid


“BAGI perokok, gunakan peluang ini untuk berhenti merokok.

“Bukan perokok boleh ‘speak out’ kepada ahli keluarga yang merokok supaya semua bebas bahaya rokok dan asap rokok.”

Itu antara nasihat Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang akan mula berkuatkuasa pada esok hingga 14 April ini berikutan penularan virus Covid-19.

Menurutnya, beberapa lokasi juga sudah diisytihar sebagai lokasi PKP Diperketatkan.

“Seperti dimaklumkan, tempoh dua minggu akan datang ini adalah amat penting di mana kerjasama semua pihak diperlukan bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.

“Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menasihatkan orang ramai untuk duduk di rumah sambil mengamalkan etika kebersihan diri.

“Misalnya kerap membasuh tangan dan jarakkan diri antara satu sama lain. Sekiranya mempunyai gejala, gunakan penutup hidung dan mulut.

“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan mengamalkan beberapa perkara seperti makan secara sihat dengan menyediakan menu sihat dan seimbang,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, antara gaya hidup sihat lain ialah kurangkan pengambilan gula, garam dan lemak manakala lebihkan pengambilan buah dan sayur.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan menjalani gaya hidup yang aktif dengan melakukan aktiviti fizikal atau senaman ringan.

“Bagi mereka yang merokok, gunakan peluang ini untuk berhenti merokok.

“Pupuk minda yang positif diri sendiri dan juga ahli keluarga.

“Amalkan teknik relaksasi yang betul dan tenangkan minda dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya diperlukan khidmat nasihat, orang awam boleh menghubungi Virtual Health Advisory dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang setiap hari selain mengikuti sesi siaran langsung Facebook KKM dari jam 10 pagi hingga 10.30 pagi dan DoctorOnCall dari jam 3 petang hingga 3.30 petang yang akan diadakan dari Isnin hingga Jumaat.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperoleh dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 7:27 PM