Noor Atiqah Sulaiman


MALAYSIA sedang berbincang dengan Amerika Syarikat untuk menggunakan peralatan mengesan wabak Covid-19 dalam tempoh singkat seperti digunakan oleh negara berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peralatan canggih itu sebenarnya dibuat di kilang terletak di Pulau Pinang, namun disebabkan kilang berkenaan mempunyai kontrak dengan Amerika Syarikat ia secara tidak langsung memberi halangan kepada Malaysia memperoleh alatan yang sama.

"Kita dimaklumkan ada satu syarikat di Pulau Pinang mengeluarkan alatan perubatan canggih berkenaan yang dapat mengesan wabak Covid-19 dalam tempoh tidak sampai setengah jam.

"Tetapi kilang terbabit ada kontrak dengan Amerika Syarikat dan kita akan bincang (dengan negara terbabit) supaya Malaysia juga diberi peluang menggunakan peralatan terbabit," katanya pada sidang media Covid-19, di sini, hari ini.

KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semasa sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semasa sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini sebanyak 39,663 ujian pengesanan Covid-19 sudah dilaksanakan, daripada jumlah berkenaan sehingga hari ini sebanyak 2,626 individu positif wabak berkenaan.

"Individu yang negatif ialah sebanyak 28,580, manakala yang masih menunggu keputusan sama ada mereka dijangkiti Covid-19 atau tidak ialah sebanyak 8,457 individu," katanya.

Sehingga kini KKM mempunyai 46 makmal berupaya melaksanakan 11,750 ujian Covid-19 sehari dan berharap jumlah berkenaan dapat dipertingkatkan kepada 16,500 ujian sehari.

Menerusi kaedah mengesan genetik virus atau rRT-PCR Covid-19 yang dijalankan, keputusan saringan mengambil masa antara 24 hingga 30 jam kerana ia perlu dihantar ke makmal ujian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 9:17 PM