Muhaamad Hafis Nawawi


SERAMAI 510 gelandangan ditempatkan sementara di empat dewan serbaguna di sekitar Kuala Lumpur selepas diselamatkan bagi membendung penularan Covid-19.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif menyelamatkan gelandangan bersama agensi lain bermula 26 Mac lalu hingga semalam.

Menurutnya, sepanjang menjalankan operasi itu pihaknya mengenal pasti beberapa lokasi panas bagi gelandangan dengan menjadikan ia tempat bermalam.

“Mereka yang diselamatkan ini ditempatkan di tempat dewan serbaguna iaitu di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Pusat Komuniti Setiawangsa, Dewan Serbaguna Alam Damai dan Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir.

“Gelandangan ini terdiri warga tempatan dan warga asing dari Indonesia, Myanmar, Vietnam, Jepun, India, Syria, Mesir, Sri Lanka, Korea, Pakistan dan Somalia,” katanya kepada pemberita selepas melawat gelandangan di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur, hari ini.

Nor Hisham berkata, mereka ini akan ditempatkan sementara di sini sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat dan operasi mengesan gelandangan untuk diselamatkan juga akan diteruskan.

HAMDAN (tengah) bertanyakan sesuatu kepada seorang gelandangan SUKPA, Kuantan. FOTO Ihsan MPK
HAMDAN (tengah) bertanyakan sesuatu kepada seorang gelandangan SUKPA, Kuantan. FOTO Ihsan MPK

“Selain itu, kita juga dapat mengumpul data jumlah gelandangan yang ada di Kuala Lumpur dengan menggunakan sistem biometrik yang mana ia akan dapat digunakan agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita ingin membantu mereka dan gelandangan ini turut menjalani ujian saringan dikendalikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan setakat ini tiada yang positif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, dewan terbabit disediakan tilam, bantal, dan kelengkapan lain dengan jumlah peruntukan dianggarkan RM2 juta.

“Mereka ini ada yang bekerja dan tidak bekerja yang mana faktor penyumbang mereka menjadi gelandangan adalah pengangguran, miskin, masalah mental, warga asing tiada pekerjaan, tidak upaya urus diri, ditinggalkan keluarga, dadah, arak dan bekas banduan.

“Pihak yang ingin menyumbang makanan juga diharapkan hanya menyalurkan di empat premis terbabit,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 12:38 PM