GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


SARAWAK hari ini mencatatkan jumlah harian tertinggi positif Covid-19 apabila 32 disahkan dijangkiti wabak itu.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan petang ini memaklumkan kesemua 32 kes positif baharu itu dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Beliau berkata, dengan 32 kes baharu itu, jumlah keseluruhan yang disahkan positif wabak itu di Sarawak kini seramai 188 orang sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020.

“Kebanyakan kes positif yang dilaporkan hari ini adalah kalangan mereka yang membuat saringan di Kompleks Belia dan Sukan, Kuching.

“Sejak 21 Mac yang lalu, seramai 2,228 orang telah hadir di Kompleks Belia dan Sukan untuk menjalani saringan dengan 1,160 sampel telah diambil. Sebanyak 49 kes adalah positif, 771 adalah negatif dan 340 masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

Sehubungan itu katanya, JPBN menghargai individu yang sukarela membuat saringan itu.

“JPBN sekali lagi menyeru orang awam yang mempunyai kontak rapat kepada mana-mana kes positif supaya membuat saringan dengan kadar segera.

“Tindakan ini wajar agar kita dapat mengesan pesakit dalam usaha kita untuk memutuskan rantaian jangkitan ini daripada terus merebak,” katanya.

Katanya lagi, sebanyak 66 kes baharu individu dalam siasatan (PUI) dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,288 kes.

“Daripada jumlah itu, 1,045 kes adalah negatif dan 55 kes PUI masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

Sementara itu, JPBN mengesahkan Kuching sebagai zon merah Covid-19 selepas 118 kes positif direkodkan di bandar raya ini.

Sebanyak 13 kawasan lagi dikategorikan sebagai zon jingga apabila merekodkan antara satu hingga 40 kes positif.

Zon jingga di Sarawak itu ialah Kota Samarahan yang mencatatkan 20 kes positif, Miri (11), Betong (9), Sarikei dan Limbang masing-masing (6), Bintulu (5) manakala Serian dan Sibu masing-masing (4).

Lima lagi kawasan iaitu Simunjan, Sri Aman, Mukah, Matu dan Lawas pula masing-masing mencatatkan satu kes.

Sebanyak 26 kawasan lagi dikategorikan zon hijau apabila disahkan bebas dari wabak berkenaan iaitu Bau, Lundu, Asajaya, Saratok, Pusa, Kabong, Maradong, Julau, Pakan, Kanowit, Selangau, Tatau, Sebauh, Dalat, Daro, Tanjung Manis, Marudi, Subis, Beluru, Telang Usan, Kapit, Belaga, Song, Bukit Mabong, Lubok Antu dan Tebedu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 6:29 PM