ANTARA tong gas yang berjaya diselamatkan dalam kejadian kebakaran di kilang membuat tong gas petroleum cecair (LPG) di Kampung Kemayang, Tawang, Bachok. FOTO IHSAN BOMBA
ANTARA tong gas yang berjaya diselamatkan dalam kejadian kebakaran di kilang membuat tong gas petroleum cecair (LPG) di Kampung Kemayang, Tawang, Bachok. FOTO IHSAN BOMBA
Nor Amalina Alias


TINDAKAN pantas seorang pekerja melarikan diri menyelamatkannya daripada rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah kilang membuat tong gas petroleum cecair (LPG) di Kampung Kemayang, Bachok, pagi tadi.

Dalam kejadian 7.30 pagi tadi, pekerja berkenaan dipercayai baru memulakan tugas untuk memanaskan tempat pembakaran untuk mengecat tong gas LPG bagi kegunaan rumah dan industri sebelum dapur pembakar itu meletup dan meranapkan kawasan tempat bekerja itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 7.58 pagi.

Katanya, beliau bersama lapan pegawai serta 34 anggota daripada tiga balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Pengkalan Chepa dan Kota Bharu bergegas ke lokasi bersama tiga jentera dan satu ‘water tanker’ daripada balai Pengkalan Chepa.

“Api berjaya dikawal pada 8.46 pagi dan padam sepenuhnya 10 minit kemudian.

“Hasil maklumat awal pekerja memaklumkan kebakaran berlaku di tempat pembakaran (oven) untuk mengecat tong gas di mana mereka menggunakan cat dan pelarut untuk mengecat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Yus Heary berkata, kebakaran itu membabitkan kira-kira 50 peratus kerosakan di kilang berkenaan manakala kawasan mengecat tong gas musnah sepenuhnya.

Menurutnya, operasi kilang berkenaan sepatutnya bermula 8 pagi hingga 10 malam namun bertukar waktu bermula 8.15 pagi hingga 5.45 petang selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Tambah beliau tiada kemalangan jiwa dilaporkan bagaimanapun punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 7:35 PM