GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid


KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) yakin keupayaan makmal di Malaysia boleh dipertingkatkan untuk laksanakan 16,500 ujian koronavirus baharu (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini keupayaan makmal seluruh negara adalah 11,500 ujian.

Beliau berkata, pada awalnya KKM mempunyai 12 hospital boleh laksanakan Covid-19 sebelum ditambah dua lagi iaitu Hospital Sibu di Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu di Sabah.

“Sudah ada 14 hospital kemudian satu makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) serta lima makmal kesihatan awam menjadikan keupayaan kita sekarang 20 makmal.

“Ditambah lagi tujuh makmal swasta, 12 makmal di Universiti Awam (UA) serta tujuh makmal di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

“Kemudian dicampur lagi satu makmal di Institut Genom Malaysia (MGI) dan hospital angkatan tentera menjadikan keseluruhan adalah 48 makmal,” katanya pada sidang media khas Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, semua makmal buat masa ini berkeupayaan menjalankan sebanyak 11,500 ujian Covid-19 dan boleh meningkat sehingga 16,500 ujian.

Sementara itu, katanya, KKM akan membuat pengesahan berhubung ketepatan kit ujian antigen dari Korea Selatan yang diterima semalam.

“Kalau keputusan ujian itu menunjukkan ketepatan yang tinggi maka kita akan membuat perolehan sebanyak 200,000.

“Ini kerana ia boleh dilaksanakan tanpa perlu hantar sampel ke makmal. Bukan sahaja boleh dilaksanakan di hospital malah di klinik dan mereka hanya memerlukan ‘biosafety cabinet’ saja.

“Sebanyak 444 klinik KKM boleh melaksanakan ujian swab (calitan tekak). Jadi kita akan mempercepatkan lagi keputusan ujian Covid-19 menggunakan kit ujian antigen dari Korea Selatan itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 9:06 PM