SEORANG melakukan kekejaman terhadap kera.
SEORANG melakukan kekejaman terhadap kera.
Nurul Amanina Suhaini


SEORANG lelaki tempatan berusia 67 tahun dipanggil untuk disoal siasat susulan dipercayai melakukan kekejaman terhadap haiwan di sebuah kediaman di Kampung Sri Bunian, Batu 33, Jalan Johor-Pontian di sini, petang tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor Salman Saaban berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan di rumah terbabit susulan video yang tular menerusi laman sosial Facebook (FB) baru-baru ini.

“Pada pemeriksaan 4.40 petang tadi, kami menemui satu sangkar dawai dengan kesan semburan cat.

“Tiga tin cat semburan turut ditemui. Ia dipercayai digunakan ketika melakukan kekejaman ke atas seekor hidupan liar disyaki kera.

“Lelaki berusia 67 tahun dipanggil untuk soal siasat dan kes disiasat mengikut Akta 716 kerana melakukan kezaliman ke atas hidupan liar yang diperlindungi,” katanya dihubungi.

Beliau berkata, individu itu akan didakwa di mahkamah selepas mendapat arahan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Orang ramai dinasihati tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh dikategorikan sebagai menzalimi hidupan liar.

“Sebaliknya, hubungi PERHILITAN untuk tindakan susulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 9:54 PM