ASISTEN Komisioner Soffian Santong. FOTO Arkib NSTP
ASISTEN Komisioner Soffian Santong. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

SERAMAI 24 penuntut kolej ditahan selepas melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bermain bola sepak di padang kolej di Jalan Cengai, Tanjung Bungah di Georgetown, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua penuntut terbabit ditahan sepasukan anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian pada 7.14 malam selepas menerima aduan daripada orang awam.

“Ketika tiba di lokasi, pintu pagar berkunci dan ia dibuka 15 minit kemudian.

“Pemeriksaan mendapati kesemua mereka yang bermain bola di padang itu adalah warga tempatan dan penuntut yang tinggal di asrama kolej berkenaan,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, kesemua penuntut berusia lingkungan 20-an itu ditahan kerana melanggar PKP dan disyaki dengan cuai melakukan perbuatan yang boleh merebakkan jangkitan penyakit berbahaya.

“Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan kami sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 10:34 PM