DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), semalam, dengan empat syarikat perkhidmatan kesihatan dalam talian bagi inisiatif sistem Online Appointment dan Webinar for COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sistem Online Appointment membabitkan kolaborasi antara KKM dengan Queuemed, EncoreMed, Bookdoc dan Doctoroncall.

Beliau berkata, ia sebagai alternatif untuk mengurangkan isu kesesakan di klinik kesihatan di samping bagi tujuan jarakan sosial semasa pandemik penyakit koronavirus baharu (Covid-19).

Katanya, melalui inisiatif itu pelanggan boleh memilih slot waktu janji temu untuk datang ke klinik kesihatan KKM bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

“Khusus bagi pandemik Covid-19 yang mana jarakan sosial perlu diamalkan, adalah diharapkan pelaksanaan sistem ini dapat membantu mengatasi isu kesesakan dan masa menunggu yang panjang di klinik kesihatan,” katanya melalui hantaran di laman sosial Facebook miliknya malam ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, inisiatif Webinar for COVID-19 pula satu kolaborasi antara BookDoc dan KKM untuk menyalurkan informasi kesihatan yang tepat dan terkini berkaitan dengan Covid-19.

“Bagi Webinar, ia adalah saluran alternatif untuk orang awam, yang mana ia membabitkan sesi soal jawab secara web-based bersama pakar perubatan kesihatan awam dan pegawai perubatan KKM serta pegawai dalam kategori-kategori lain seperti Dietetik,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, kedua-dua inisiatif baharu ini dilaksanakan tanpa sebarang kos kepada pihak kerajaan.

“Inisiatif ini adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada semua syarikat terbabit untuk tempoh tiga bulan dan orang awam boleh mendapatkan maklumat berkaitan melalui portal KKM (moh.gov.my) dan syarikat masing-masing,” katanya nya.

“Diharap usaha ini akan membantu mengurangkan keresahan dan meningkatkan tahap kesedaran orang awam berkaitan pematuhan kepada langkah-langkah pencegahan yang disaran kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 di negara kita pada masa ini,” tambah Dr Noor Hisham.

Slot bagi sistem Online Appointment akan dibuka dari 8.30 pagi sehingga 4.30 petang dan senarai klinik kesihatan terbabit boleh dirujuk melalui portal KKM.

Sementara itu, waktu Webinar pula adalah dari 2 hingga 2.30 petang pada Isnin hingga Jumaat. Webinar ini boleh ditonton melalui sesawang webinar.bookdoc.com.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 12:16 AM