KETUA Pegawai Eksekutif vivo Malaysia, Mike Xu (kanan) bersama kakitangan MERCY Malaysia.
KETUA Pegawai Eksekutif vivo Malaysia, Mike Xu (kanan) bersama kakitangan MERCY Malaysia.
Muhamaad Razis Ismail

DALAM berdepan krisis penularan wabak Covid-19 di negara ini, topeng mulut dan hidung adalah peralatan sangat penting sehingga mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Menyedari perkara ini, vivo Malaysia menyumbangkan 20,000 topeng mulut dan hidung untuk melawan virus ini terus merebak.

Ketua Pegawai Eksekutif vivo Malaysia, Mike Xu berkata, negara kini berdepan keadaan yang tidak menentu disebabkan oleh Covid-19.

Katanya, ramai pihak sedang bertungkus lumus terutama yang berada di barisan hadapan sedang berusaha melawan penyakit ini daripada terus merebak.

“Sebagai sebuah syarikat teknologi terkemuka, kami terpanggil untuk turut bersama-sama membantu melindungi rakyat di negara ini.

“Kami sedar, permintaan terhadap topeng mulut dan hidung meningkat sehingga sukar untuk mendapatkannya di pasaran.

“Menyedari masalah itu, kami tampil menyumbangkan topeng mulut dan hidung sebagai pelindung daripada terkena jangkitan pandemik ini,” katanya.

Beliau berkata, usaha ini dijalankan dengan kerjasama MERCY Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menyediakan bantuan perubatan, pembangunan berkaitan kesihatan dan aktiviti pengurangan risiko yang mampan bagi masyarakat yang terdedah dalam keadaan krisis dan bukan krisis.

Menurutnya, vivo Malaysia turut melahirkan rasa simpati terhadap individu dan keluarga yang terkena jangkitan wabak ini.

“Kami berharap, mereka kuat untuk hadapi dugaan ini dan diberikan kesembuhan dengan segera.

“Pada masa sama, kami menyokong dan hargai segala langkah yang diambil untuk membendung penyebaran pandemik ini.

“Kata-kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin “Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing’, turut mendorong kami untuk turut bersama-sama membantu demi kesejahteraan rakyat di negara ini,” katanya.

VIVO Malaysia menyumbangkan 20,000 topeng mulut dan hidung melalui MERCY Malaysia.
VIVO Malaysia menyumbangkan 20,000 topeng mulut dan hidung melalui MERCY Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 10:00 AM