X
Mohamed Farid Noh


KIRA-KIRA 1,500 gelandangan masih bertebaran di sekitar bandar raya ini sekali gus menimbulkan ancaman terhadap penularan Covid-19 dalam kalangan mereka.

Tinjauan mendapati, gelandangan menjadikan jejantas selain kaki lima bangunan sebagai tempat perlindungan.

Prihatin dengan nasib gelandangan, Pertubuhan Kebajikan Ehsan Penyayang tampil menghulurkan bantuan makanan serta penutup hidung dan mulut hasil sumbangan syarikat korporat dan individu.

Ketuanya, Faridah Mustafa, 60, yang lebih dikenali sebagai Kak Teh dalam kalangan gelandangan bandar raya ini berkata, atas kesedaran dan keinsafan melihat nasib gelandangan yang tidak mempunyai tempat tinggal dan arah tujuan, pertubuhannya bersama 25 sukarelawan tampil mengumpulkan sumbangan buat mereka.

“Kami berusaha mendekati syarikat korporat selain individu yang mahu menyumbang makanan kepada gelandangan di bandar raya ini.

“Alhamdulillah, masih ramai insan berhati mulia dalam kalangan masyarakat kita yang menyumbang makanan dan minuman.

“Saya dan sukarelawan akan mengedarkannya kepada gelandangan di sekitar bandar raya ini jam 5 petang setiap hari,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya juga mengumpul data gelandangan yang ditemui setiap hari dan sehingga kini, ada kira-kira 1,500 gelandangan di sekitar bandar raya ini.

Katanya, mereka ini termasuk ‘gelandangan transit’ iaitu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tetapi kini sama ada diberhentikan kerja atau tidak boleh memasuki republik itu berikutan sempadan sudah ditutup.

Gelandangan, Nor Azimah Abdullah, 43, berkata, dia menjadikan jejantas selain warung kosong sebagai tempat tinggal sejak sebulan lalu apabila diberhentikan kerja.

Katanya, dia sebelum ini bekerja di sebuah restoran makanan segera sebagai tukang cuci namun berikutan operasi kini dihadkan, dia diberhentikan kerja sekali gus tidak mampu menyewa bilik dan terpaksa hidup bergelandangan.

“Bimbang juga dengan Covid-19 namun saya perlu teruskan kehidupan secara bergelandangan. Cari kerja pun bukan mudah ketika ini.

“Alhamdulillah, Kak Teh dan kumpulannya membantu kami dengan memberi makanan pada setiap hari malah ada pemilik warung baik hati yang membenarkan saya menumpang tidur,” katanya.

Mengulas isu itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Zaiton Ismail berkata, Kem Bina Negara Gunung Pulai di Pontian, kini sedang giat menjalani proses pembaikan sebagai persediaan untuk dijadikan pusat gelandangan sepanjang tempoh PKP ini.

“Kita sudah mengarahkan kerja pembaikan dilakukan dengan segera malah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor juga sedang membanci semua gelandangan di bandar raya bagi ditempatkan di kem berkenaan dalam masa terdekat.

“Kerajaan negeri akan pastikan semua golongan termasuk gelandangan tidak tersisih daripada mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

PERTUBUHAN Kebajikan Ehsan Penyayang, tampil menghulurkan bantuan makanan dan penutup mulut dan hidung kepada gelandangan yang masih bertebaran di bandar raya ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PERTUBUHAN Kebajikan Ehsan Penyayang, tampil menghulurkan bantuan makanan dan penutup mulut dan hidung kepada gelandangan yang masih bertebaran di bandar raya ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 3:49 PM