SAYURAN yang ditanam pekebun tempatan rosak dan terpaksa dilupuskan berikutan lambakan sayuran menyebabkan permintaan produk itu semakin berkurangan. FOTO Ihsan Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur-Sayuran Malaysia
SAYURAN yang ditanam pekebun tempatan rosak dan terpaksa dilupuskan berikutan lambakan sayuran menyebabkan permintaan produk itu semakin berkurangan. FOTO Ihsan Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur-Sayuran Malaysia
Mohamed Farid Noh

BEKALAN sayuran dijangka terjejas menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini berikutan rantaian kerja pekebun sayur tempatan terganggu akibat wabak Covid-19.

Memburukkan keadaan apabila hampir 40 peratus sayuran yang diusahakan pekebun seluruh negara rosak dan terbuang hampir setiap hari berikutan lambakan dan kurang permintaan selain input pertanian termasuk benih, baja dan racun yang agak sukar diperoleh berikutan penularan wabak itu.

Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur-Sayuran Malaysia, Tan So Tiok berkata, situasi itu bakal menjejaskan kira-kira 6,000 pekebun sayur seluruh negara selain menyebabkan bekalan sayuran dihasilkan pekebun tempatan berkurangan.

Katanya, tambah merumitkan keadaan, pekerja ladang sayuran membabitkan warga Indonesia dan Bangladesh akan pulang ke negara mereka beramai-ramai menjelang Ramadan ini sekali gus menyebabkan ketiadaan pekerja.

Beliau berkata, dilema itu dihadapi pekebun sayur seluruh negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu apabila sayuran sukar dipasarkan selain tidak menerima permintaan seperti biasa menyebabkan sayuran yang rosak terpaksa dilupuskan.

“Input pertanian terutama benih, baja dan racun yang kebanyakannya diimport juga sukar didapati ketika ini menyebabkan pekebun sayur menghadapi masalah urus kebun dan ladang sayuran masing-masing.

“Rantaian bekalan sayuran negara terjejas berikutan banyak pasar borong mengalami kekurangan pekerja dan ada yang ditutup berikutan perlu menjalani proses nyah cemar dan sanitasi.

“Pasar pagi juga kini mengehadkan operasi harian dengan pasar malam dan kebanyakan restoran juga ditutup menyebabkan permintaan sayuran semakin berkurangan dengan drastik menyebabkan berlaku lambakan sayuran tidak terjual.

“Semua faktor ini akan memberi kesan pada bekalan sayuran menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini malah kami menganggarkan jumlah kerugian sebanyak RM22.7 juta sepanjang PKP ini, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tahun lalu, Malaysia mengeluarkan 1.9 juta tan sayuran dengan 1.2 juta tan sayuran lagi diimport dari luar negara bagi menampung keperluan makanan negara.

Mengulas lanjut, So Tiok berkata, terdapat kira-kira 80,000 hektar kebun serta ladang sayuran di seluruh negara dengan sejumlah yang besar berada Johor dan Cameron Highlands, Pahang.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga diharap dapat memberikan insentif pengeluaran sayuran RM90 bagi setiap tan bagi membantu memulihkan sektor pertanian negara yang terjejas.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 3:17 PM