X
Yusmizal Dolah Aling


KERAJAAN memberi jaminan bekalan makanan di negara ini mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana masih ada pihak yang bimbang serta khuatir dengan kekurangan bekalan makanan seperti yang tular di media sosial.

“Saya ingin beri jaminan, daripada laporan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, saya ingin nyatakan makanan adalah mencukupi.

“Jadi tidak perlu bimbang, tidak perlu rakyat merasa bimbang, (atau) ragu-ragu mengenai cukup atau tidaknya makanan untuk mereka, makanan adalah mencukupi,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Justeru, Ismail Sabri menasihatkan rakyat supaya tidak membuat pembelian panik kerana tidak timbul isu dari segi bekalan makanan.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga sudah mengarahkan penguat kuasa untuk memantau kedai atau pasar yang menjual barangan harian bagi memastikan tidak ada peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenangnya.

“Jika ada peniaga yang menaikkan harga sila hubungi pejabat KPDNHEP atau menghubungi kementerian supaya tindakan tegas dapat diambil ke atas peniaga seperti ini.

“Kita tidak akan membenarkan sesiapa saja mengambil kesempatan sewaktu rakyat kesusahan ketika ini,” katanya.



Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sudah mewartakan 551 pusat kuarantin di seluruh negara yang mampu menempatkan lebih 40,000 individu.

Katanya, sehingga hari ini sebanyak 107 pusat kuarantin sudah beroperasi sepenuhnya.

“Semalam 90 (beroperasi) hari ini ditambah lagi menjadikan jumlah keseluruhan 107 yang sudah beroperasi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

    ISMAIL Sabri pada sidang media harian PKPB di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama
    ISMAIL Sabri pada sidang media harian PKPB di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama

  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 3:23 PM