AWIE menunjukkan nasi budjet yang ditempah sebelum dihantar ke rumah penduduk di sekitar Slim River. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.
AWIE menunjukkan nasi budjet yang ditempah sebelum dihantar ke rumah penduduk di sekitar Slim River. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.
Rosman Shamsudin

PENIAGA makanan mengambil inisiatif menjual nasi bajet secara tempahan bagi meringankan beban sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan sejak 18 Mac lalu.

Lebih menarik, Mohd Nawawi Hussin, 57, atau lebih dikenali dengan nama panggilan Awie hanya mengenakan bayaran RM5 termasuk minuman tanpa caj penghantaran ke rumah di sekitar Slim River.

Awie berkata, nasi berlauk kari ayam, sayur, sambal belacan dan minuman teh o ais dijual setiap hari menerima banyak tempahan kerana orang ramai tidak boleh keluar rumah.

“Sejak PKP, saya kehilangan kira-kira 70 peratus pendapatan harian lalu muncul idea untuk menjual nasi bajet bagi menampung kos sara hidup keluarga.

“Alhamdulillah, tidak perlu jual mahal-mahal kerana apa salahnya sesekali kita bersedekah di samping mencari sumber pendapatan,” katanya ketika ditemui dekat Kampung Balun, Slim River, hari ini.

Menurutnya, sebagai peniaga kecil sudah tentu rasa perit dalam menghadapi PKP, tetapi dia reda kerana setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.

“Setiap hari saya menerima tempahan sebanyak 60 bungkus yang dibuat menerusi aplikasi WhatsApp dan telefon untuk penghantaran ke rumah, selain ada pelanggan datang mengambil sendiri.

“Ada juga individu yang meminta saya memasak untuk disedekahkan kepada 10 orang yang terkesan akibat PKP selama 14 hari.

“Demi kelangsungan hidup, saya akan terus berniaga nasi bajet bagi memastikan keperluan asas keluarga terjamin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 4:45 PM