NUR Hamidah (kiri) dan Sofia. FOTO ihsan pembaca
NUR Hamidah (kiri) dan Sofia. FOTO ihsan pembaca


PEKERJA Malaysia yang bekerja di Singapura dijangka akan mula bergerak balik hari ini dengan berjalan kaki merentasi tambak Johor.

Pembantu Produksi sektor Elektrik di Singapura, Nur Hamidah Jamal, 30, berkata, dia antara yang akan mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air selepas arahan ‘lockdown’ di republik itu bagi menghentikan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Katanya, penutupan itu dilaksanakan dalam tempoh sebulan dan segala kemungkinan boleh berlaku termasuk tiada pekerjaan.

“Kami bimbang kerana sebulan tempoh yang panjang, risau tersadai di negara orang serta berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi di sini (Singapura).

“Kami memang tidak mampu untuk terus menetap di Singapura kerana besar kemungkinan juga kilang ditutup membabitkan sektor perkhidmatan yang tidak penting,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nur Hamidah berkata, majikan ada memberitahu, mereka tidak diberhentikan kerja tetapi perlu mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan.

Menurutnya, selepas selesai urusan bersama majikan dan mendapat kelulusan kesihatan, dia akan berjalan kaki sejauh 1.5 kilometer untuk balik ke Johor petang ini.

“Selepas siap urusan saya akan terus gerak ke Johor tetapi bergantung kepada keadaan cuaca.

“Jika balik jam 10 ke atas memang tidak berani, risau sampai Malaysia tidak lepas pemeriksaan suhu badan kerana cuaca panas, sama seperti kejadian 17 Mac lalu ketika saya dari Johor Bahru ke Singapura.

“Mungkin ramai yang berjalan kaki lewat petang atau malam dengan keadaan lebih sejuk dan berangin,” katanya.

Sementara itu, bagi Penyelia rangkaian kedai di Singapura, Sofia Safie, 35 berkata, dia masih menunggu kebenaran serta pengesahan dari majikan untuk pulang ke tanah air.

“Sekiranya tiada kerja di sini, pulang ke Johor adalah lebih baik, tetapi ia bergantung kepada keputusan majikan hari ini.

“Kalau dibenarkan balik, saya akan berjalan kaki ke Johor sebab memang tidak ada pengangkutan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 3:44 PM