Hafidzul Hilmi Mohd Noor


HUJAN lebat tidak mematahkan semangat kira-kira 30 anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawasi Menara One City di Jalan Munshi Abdullah di sini.

Mereka dilihat tidak berganjak dan sanggup berhujan di khemah kawalan disediakan.

Beberapa anggota ATM dilihat basah kuyup dan masih memberi arahan kepada individu supaya tidak memasuki kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Tinjauan mendapati, penduduk Menara City One tidak keluar rumah manakala penghantar makanan hanya dibenarkan meninggalkan makanan dipesan di pondok kawalan pihak berkuasa.

Seorang majikan yang ditemui berkata, dia menghantar makanan kepada pekerjanya di kondominium berkenaan.

“Petugas membenarkan hanya seorang individu menghantar makan dan diletakkan di tempat khas.

“Terdapat kira-kira 20 pekerja menyewa di sini,” katanya.

Sementara itu, beberapa individu dilihat ke khemah milik Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) di pekarangan menara itu.

Mereka dilihat membuat saringan Covid-19 dan kemudian naik semula ke kediaman masing-masing

Terdahulu, pada 30 Mac lalu, kerajaan menguatkuasakan PKPD di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur yang berkuat kuasa sehingga 13 April ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 4:33 PM