KEADAAN rumah Siti Norain yang rosak akibat ribut di Kampung Padang Panjang, Malau. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
KEADAAN rumah Siti Norain yang rosak akibat ribut di Kampung Padang Panjang, Malau. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


LEBIH 120 rumah di enam daerah di Kedah mengalami kerosakan apabila sebahagian bumbung diterbangkan ribut, petang semalam.

Kejadian berlaku pada 4.45 petang itu membabitkan 97 buah rumah di Alor Setar, Yan (10), Kubang Pasu (12), Pokok Sena (2) dan Baling (1).

Bagaimanapun, tiada kejadian tidak diingini berlaku ketika kebanyakan penghuni berada dalam rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Suri rumah, Siti Norain Ahmad, 37, dari Kampung Padang Panjang, Malau, di Jitra, berkata dia mengambil bayinya, Siti Nur Ainul Mardiah Mahadi, sembilan bulan, dalam buaian dan dua anak berusia 14 dan tujuh tahun ke rumah tamu untuk berlindung.

Menurutnya, ketika itu hujan lebat disertai ribut menyebabkan bumbung rumah berterbangan.

“Ketika itu suami Mahadi Mat, 40, keluar bekerja dan tinggal kami empat beranak dalam rumah.

“Rumah pusaka ini sudah uzur dan pernah rosak akibat dilanda banjir, tahun lalu dan semalam pula rosak dilanda ribut pula tetapi saya bersyukur kerana kami sekeluarga selamat,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, bahagian dalam rumahnya dibasahi air hujan yang mencurah masuk menyebabkan mereka terpaksa tidur berhimpit di ruang tamu.

“Saya bimbang siling rumah akan jatuh kerana sudah kembang terkena air sekali gus berharap ada pihak membantu meringankan beban,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Unit Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya sedang melakukan bancian untuk mengenal pasti jumlah rumah yang mengalami kerosakan akibat ribut.

Katanya, pada masa sama bantuan kit makanan diberikan kepada penduduk yang terjejas dalam kejadian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 5:39 PM