Anggota bomba melakukan operasi nyah cemar terhadap bas yang digunakan untuk mengambil penumpang penerbangan yang baru tiba di Sarawak. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba melakukan operasi nyah cemar terhadap bas yang digunakan untuk mengambil penumpang penerbangan yang baru tiba di Sarawak. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak melaksanakan 59 program sanitasi awam sejak 30 Mac lalu hingga petang semalam.

Daripada jumlah itu, 18 program dilaksanakan di pasar awam, dua di pasar raya, rumah ibadat (9), bangunan kerajaan (14), perumahan (7), tempat perhimpunan (6) dan pengangkutan (3).

Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, program sanitasi pengangkutan turut dilaksanakan membabitkan bas membawa penumpang penerbangan dari Kuala Lumpur, Sabah dan Labuan yang tiba di negeri ini.

Beliau berkata, semalam sanitasi itu dilakukan kerana bas berkenaan digunakan untuk mengambil sekumpulan 91 penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) untuk dihantar ke pusat kuarantin di sebuah hotel di sini.

“Kumpulan penumpang itu adalah rakyat Sarawak yang balik ke negeri ini dengan menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur petang semalam.

“Setibanya di negeri ini, mereka diwajibkan menjalani kuarantin di tempat yang disediakan iaitu dua hotel di Kuching ini,” katanya.

Ling Hii berkata, 55 daripada penumpang itu adalah lelaki dewasa, 34 wanita dewasa manakala dua lagi kanak-kanak.

Katanya, seramai 87 individu lagi ditempatkan di sebuah hotel di Kuching.

Beliau berkata, operasi sama turut dilaksanakan terhadap pengangkutan yang digunakan untuk tujuan sama di Miri dan Sibu.

Di Miri, 94 orang ditempatkan kini di dua hotel manakala di Sibu, seramai lima orang kini dikuarantin di Sibu Diocesan Pastoral Centre.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 10:56 AM