SULTAN Muhammad V. FOTO arkib NSTP
SULTAN Muhammad V. FOTO arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi


SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengembalikan Emolumen Diraja selama enam bulan bermula April sehingga September depan kepada Perbendaharaan Negeri Kelantan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata, langkah itu selari dengan pendekatan diambil Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mengembalikan semula bayaran tersebut mulai Mac hingga Ogos depan.

“Baginda berharap emolumen Diraja yang dikembalikan itu akan dapat diuruskan sewajarnya oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan supaya dapat membantu meringankan beban rakyat yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan.

“Baginda turut mengingatkan seluruh rakyat supaya bekerjasama membantu barisan hadapan dengan mematuhi PKP kerana ia adalah penting bagi melandaikan puncak jangkitan dengan melindungi golongan yang mudah terdedah dan mengelakkan lebih ramai keluarga kehilangan orang yang disayangi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sultan Muhammad V berharap supaya rakyat terus bersabar dan memandang PKP dari sudut positif, di mana mereka boleh meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama keluarga, bermuhasabah dan beribadat.

“Baginda juga berpesan walaupun PKP ini mungkin sukar bagi orang ramai tetapi ia adalah langkah yang perlu di ambil dan rakyat perlu sentiasa bertimbang rasa dan saling membantu antara satu sama lain,” katanya.

Nik Mohd Shafriman berkata, Sultan Kelantan turut menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada seluruh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia dan semua yang terbabit dalam sektor perkhidmatan kritikal yang tidak mengenal penat lelah dan berkorban untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Baginda turut mengajak semua rakyat untuk turut sama berdoa ke hadrat Allah SWT supaya penularan wabak Covid-19 ini dapat dikekang dan barisan hadapan yang sedang berjuang menyelamatkan pesakit sentiasa diberikan ketabahan dan kekuatan dalam melaksanakan tugas mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 3:31 PM