Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


KEPUTUSAN kerajaan memberhentikan operasi kilang arak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disifatkan sebagai keutamaan yang paling penting bagi memastikan doa masyarakat agar terhindar daripada wabak koronavirus baharu (Covid-19) dimakbulkan.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, masyarakat juga diseru agar memaksimumkan amal ibadat dengan menutup segala ruang kemaksiatan bagi memastikan doa umat Islam sepanjang diuji dengan wabak berkenaan dimakbulkan Allah.

“Ketika berdepan situasi gawat yang tidak pernah kita fikirkan selama ini, umat Islam digesa melakukan amalan fardu dan memaksimumkan amalan sunat sebagai kaedah sentiasa mendekatkan diri dan bermunajat kepada Allah dengan sepenuh pengharapan dan tawakal.

“Di samping itu, umat Islam ditegah bersungguh-sungguh daripada melakukan perkara mungkar dan dosa yang disebabkan itulah usaha kerajaan memberhentikan operasi dua kilang arak di negara ini (sepanjang tempoh PKP) sangat dihargai,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Harussani berkata, tindakan itu bertepatan dengan dasar yang dilaksanakan pemimpin Islam zaman berzaman sejak hayat Rasulullah SAW serta khalifah selepas kewafatan baginda yang mengambil pendekatan tegas dalam isu berkaitan arak.

“Umpamanya Imam Al-Bayhaqi ketika menghuraikan mengenai syarat ahli dzimmah (bukan Islam) yang tinggal bersama masyarakat Islam menyebutkan bahawa (khalifah) Umar Abdul Aziz pernah menulis surat supaya majlis arak bagi masyarakat bukan Islam tidak dizahirkan dan dilakukan secara tertutup.

“Bahkan, Umar Abd Aziz dilihat cuba menyekat kemasukan dan kebebasan aktiviti import dan eksport arak dengan melarang gabenor beliau di Kufah daripada membawa arak memasuki antara wilayah atau bandar seperti yang direkodkan oleh Ibn Zanjaweh di dalam kitab al-Amwal.

“Begitu juga dengan Al-Imam Ibn Abi Syaibah yang merekodkan gambaran hampir serupa mengenai (khalifah) Umar Abd Aziz yang sangat bertegas dalam urusan jual beli dan import eksport arak yang disifatkan sebagai punca kepada kerosakan manusia,” katanya.

Terdahulu, sepucuk surat yang didakwa dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi kebenaran kepada kilang yang dimiliki sebuah syarikat minuman keras untuk beroperasi ketika PKP tular pada Ahad lalu (kelmarin).

Bagaimanapun, keputusan itu menimbulkan kontroversi dalam kalangan pengguna media sosial kerana menganggap minuman keras bukan makanan penting dalam tempoh PKP ini seterusnya menyebabkan kebenaran itu dibatalkan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 6:10 PM