PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail (tengah) bersama Pegawai Daerah Kluang, Mohd Radzi Mohd Amin (kiri) meninjau bilik dorm yang menempatkan seramai 237 gelandangan, di Kem Wawasan Bina Negara, Gunung Pulai, di Kulai, akan dikuarantin di lokasi berkenaan sepanjang musim wabak COVID-19 ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail (tengah) bersama Pegawai Daerah Kluang, Mohd Radzi Mohd Amin (kiri) meninjau bilik dorm yang menempatkan seramai 237 gelandangan, di Kem Wawasan Bina Negara, Gunung Pulai, di Kulai, akan dikuarantin di lokasi berkenaan sepanjang musim wabak COVID-19 ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohamed Farid Noh


KERAJAAN negeri Johor hanya mengesan 230 gelandangan di sekitar Johor Bahru dalam beberapa siri operasi untuk mengumpulkan golongan itu sejak minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail berkata, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) adakan operasi menjejaki gelandangan sejak Sabtu lalu.

Namun katanya, hanya 230 gelandangan tulen berjaya dikesan sekali gus angka anggaran awal seramai 1,500 gelandangan di bandar raya ini sebagai tidak tepat.

“Angka anggaran itu diperoleh berikutan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat kiraan berdasarkan pek makanan yang disediakan sebelum diagihkan di sekitar bandar raya untuk gelandangan namun selepas siasatan orang awam juga turut beratur mendapatkan makanan yang disediakan itu,” katanya kepada NSTP.

Katanya, MBJB terus menjalankan operasi mengesan gelandangan yang tercicir untuk ditempatkan di pusat kuarantin khas sekali gus mengelakkan mereka terjejas wabak Covid-19.

Dalam pada itu Zaiton berkata, semua 230 gelandangan berkenaan dikuarantin di Kem Wawasan Negara Gunung Pulai Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kulai, sehingga pandemik Covid-19 pulih.

“Kerajaan negeri menyediakan kemudahan selesa termasuk makan minum empat kali sehari kepada gelandangan yang ditempatkan di situ.

“Semua keperluan mereka dipantau oleh Pegawai Daerah Kulai, Mohd Radzi Mohd Amin, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Johor yang menyediakan makanan,” katanya.

Minggu lalu, sebuah NGO di negeri ini dilaporkan menganggarkan kira-kira 1,500 gelandangan berada di sekitar bandar raya ini sekali gus terdedah dengan ancaman penularan wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Zaiton yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, merakamkan penghargaan kepada usaha keras NGO di negeri ini melakukan kerja amal termasuk mengagihkan makanan kepada gelandangan dan mereka yang memerlukan.

“Kerajaan Johor sangat hargai usaha dan inisiatif NGO yang tidak jemu memberi bantuan, namun mereka digalakkan memberi bantuan terutama makanan kepada barisan hadapan kita termasuk anggota keselamatan, balai polis serta hospital selepas ini, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 11:14 AM