FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


TIGA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau hari ini, bagi pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) serta memiliki air dan daun ketum.

Bagi kes PKP, Mohamad Suzi Zuhaimi, 37; Muhammad Affyszan Mustaffa, 35 dan Sharizal Sa'at 38, masing - masing tidak bekerja dan peniaga pada 3 April lalu, jam 3.30 petang didapati bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain di dalam kawasan tempat jangkitan.

Berikutan itu, ketiga tertuduh dituduh mengikut Peraturan 3(1) Peraturan - Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ( Langkah - Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 ( PPPB) yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11 PPPB dan dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Mohamad Suzi dan Muhammad Affysan tidak mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

Majistret Khir Nizam Jemari membenarkan kedua tertuduh diikat jamin RM1,500 setiap seorang dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam pada 18 Mei depan.

Tertuduh, Sharizal pula dijatuhi hukuman penjara lima hari dari tarikh tangkap dan denda RM300 oleh Khir Nizam.

Sementara itu, Mohamad Suzi turut berdepan dua pertuduhan iaitu memiliki air dan daun ketum.

Mengikut kertas pertuduhan pada 3 April lalu, pada jam 3.30 petang tertuduh didapati memiliki cecair warna perang sebanyak 16.5 liter dipercayai air ketum dan daun ketum seberat 3.5 kilogram di sebuah rumah di FELDA Lui Selatan.

Oleh yang demikian, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 30(3), Akta Racun 1952.

Tertuduh mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan, namun Khir Nizam menangguhkan hukuman sehingga sebutan laporan kimia pada 18 Mei depan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 2:20 PM